Rumah terbakar, tiga rentung

Rumah terbakar, tiga rentung

Sandakan: Seorang lelaki dan dua wanita rentung selepas rumah mereka di Taman Rajawali, di sini, terbakar dalam kejadian malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, semua mangsa yang masih belum dikenalpasti identitinya ditemui di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam.

Katanya, seramai 18 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan rumah dua tingkat jenis kekal yang berkeluasan 26 meter persegi.

“Pasukan bomba terus memulakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan tiga pancutan dari sumber air dari Jentera Bomba dan Pili Bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui tiga mangsa rentung di bahagian ruang tamu di tingkat bawah rumah berkenaan.

“Semua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Api berjaya dikawal pada jam 11 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.21 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|