Sandakan: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata mentaliti untuk menang perlu ada dalam setiap ahli parti bagi membantu kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Beliau berkata, apa juga peringkat mentaliti menang amat penting dan perlu disemat sedalam-dalamnya terutamanya kepada jentera parti dan ahli di peringkat akar umbi.
“Sering saya tegaskan kalau nak menang kita buat kerja cara menang, kalau kita bekerja sambil lewa sudah tentu matlamat untuk menang sukar kita terjemahkan” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Kinabatangan di Sabah Hotel, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, Datuk Jafry Arifin; Naib Ketua Bahagian, Pg Aziz Pg Damsah; Setiauasaha UMNO bahagian, Wan Daud Kahar; Ketua Wanita, Hajah Aminah Johan; Ketua Pergerakan Pemuda, Mohd Kurniawan Naim dan Ketua Puteri, Norhhamiza Tinih.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, berkata jentera di peringkat parti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu diperkukuhkan dan digerakkan sepenuhnya memandangkan masa terlalu suntuk untuk berhadapan dengan PRU-15 yang semakin hampir.
Katanya, di kawasan Parlimen Kinabatangan sahaja terdapat 297 cawangan UMNO dan 27 PDM yang perlu disantuni bagi mengenal pasti kedudukan ahli dalam cawangan dan persediaan di semua peringkat PDM.
“Walaupun UMNO di bahagian ini mempunyai keahlian sekitar 28,422 orang namun parti tidak boleh bersandar sepenuhnya kepada jumlah tersebut kerana jumlah pengundi lebih besar daripada angka tersebut termasuklah kehadiran pengundi muda 18 tahun yang akan menentukan kejayaan UMNO/BN mempertahankan kerusi di kawasan ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya pengundi parti kompenan BN yang lain perlu disantuni dan digerakkan bersama sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan di kawasan ini.
Tambah Bung Moktar, natijah daripada itu kelak segala perancangan dan pelaksanaan bukan sahaja akan berjalan lancar malah akan meningkatkan lagi momentum untuk membantu parti mencapai kemenangan.
“Semua jentera perlu turun padang, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada laporan di atas kertas sahaja sedangkan situasi di peringkat akar umbi amat berbeza dari laporan yang ada,” katanya.
Bung Moktar berkata jentera di peringkat bahagian, cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing perlu bekerja lebih gigih selain membuat persediaan jentera peringkat PDM serta jentera pilihan raya peringkat Parlimen.
“Ini adalah medan terbaik untuk jentera di akar umbi melihat secara menyeluruh dan masing-masing boleh melontarkan idea serta pandangan dalam usaha memperkemaskan lagi perancangan sedia ada untuk kita sama-sama bergerak ke depan menempuh cabaran,” katanya.
Beliau berkata, cabaran masa kini dan mendatang tetap ada terutamanya persepsi negatif terhadap parti dengan pelbagai isu yang melanda negara yang perlu diperjelaskan kepada rakyat agar pemikiran mereka tidak mudah dipesongkan parti lawan, apatah lagi menjelangnya PRU pelbagai fintah dan propaganda ditabur.
Katanya lagi kepelbagaian pendekatan dan program amat penting dalam usaha menarik tumpuan serta menambah keyakinan masyarakat khususnya di Parlimen Kinabatangan untuk membuat pilihan yang terbaik dengan memilih BN pada PRU nanti.
“Penumpuan untuk menarik sokongan pengundi baharu dan golongan muda dengan program-program yang bersasar juga perlu kita berikan keutamaan kerana golongan ini juga akan menjadi penentu kejayaan BN,” katanya.
-Deasoka