MOSAR selamatkan pendaki wanita cedera

MOSAR selamatkan pendaki wanita cedera

Ranau: Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menyelamatkan seorang pendaki wanita yang terseliuh ketika turun dari Gunung Kinabalu di Kilometer 4.1, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, wanita warga tempatan berusia 22 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan perlu dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate oleh anggota MOSAR.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan kaedah ‘piggyback carry’ oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|