Buang sikap hanya tunggu diberi Jalur Gemilang

Buang sikap hanya tunggu diberi Jalur Gemilang

Kota Kinabalu: Buang sikap hanya menunggu dan mengharapkan pemberian Jalur Gemilang secara percuma daripada mana-mana pihak, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya hanya menunggu Jalur Gemilang percuma daripada kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk dikibarkan di premis masing-masing.

Yakub menyempurnakan pelepasan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) peringkat Kota Kinabalu.

“Kerana setiap individu di negara ini perlu mengubah persepsi bahawa hanya agensi kerajaan sahaja yang berperanan bagi meraikan sambutan ini, apabila tibanya bulan Ogos pada setiap tahun,” katanya ketika berucap pada majlis Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) peringkat Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan kepada rakyat Sabah supaya lebih peka mengenai Jalur Gemilang yang dikibarkan di kawasan masing-masing.

Yakub melancarkan kibaran Jalur Gemilang di premis sekitar Kota Kinabalu.

“Sekiranya ada ternampak Jalur Gemilang yang telah lusuh atau koyak, ambil inisiatif untuk membeli dan menukarkannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang tersebut dapat diturunkan dan digantikan dengan yang baharu.

“Marilah kita bertekad untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat kita, agar mereka memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah ini.

“Jangan kita mengambil mudah dalam perihal menjaga martabat dan identiti serta imej negara, marilah kita bersama-sama untuk memelihara perpaduan yang telah sekian lamanya terbina ini, agar ianya dapat membentuk sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Yakub berkata, generasi muda dan akan datang perlu dididik dengan semangat cinta dan sayangkan negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|