Papar: “Ada beberapa kerusi kita cadangkan untuk dipertandingkan PAS (di Sabah),” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini PAS Pusat belum menerima lagi senarai calon yang dikemukakan untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya sebagai Timbalan Presiden, belum menerima lagi calon yang dikemukakan di Sabah namun saya ada dengar mengenainya.
“Biasalah parti-parti politik mengemukakan calon untuk cadangan di peringkat negeri. Namun bagi pihak parti, kita akan tunggu secara rasmi dan kita lihat bagaimana kesediaan Pas negeri untuk bertanding.
“Dalam PRU kali ini, ada beberapa kerusi kita cadangkan untuk dipertandingkan Pas. Pas sudah lama di Sabah dan kita dapati sokongan kita semakin hari semakin baik dan kita perlu imej kita dan akan teruskan untuk turun bertanding,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja beliau di Kampung Pengalat, di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa perbincangan akan dilakukan bersama parti lain yang sedia untuk bekerjasama dengan PAS.
“Kita belum bincang soal kerusi cuma kita dalam jawatankuasa perundingan kerusi untuk bincang bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), kita ada jawatankuasa, cuma perundingan belum rasmi dan belum diangkat kepada parti.
“Kita belum ada perbincangan buat masa ini, kita perkukuhkan PN dalam persiapan untuk menghadapu PRU-15,” katanya.
-Deasoka