Projek Pan Borneo utamakan keselamatan pengguna

Projek Pan Borneo utamakan keselamatan pengguna

Kota Kinabalu: Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo sentiasa menititikberatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terutama sepanjang pembinaan dilaksanakan di seluruh Sabah.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid berkata, sejajar dengan komitnen itu, pihaknya dengan kerjasama pelbagai pihak menganjurkan ‘Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya’.

Mohd Shamsul Nizam menyerahkan Kit Keselamatan Jalan Raya dan Bendera kepada pengguna Jalan Raya.

Katanya, kempen bersama Pihak Perunding Pengurusan Projek (PMC) dengan sokongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilaksanakan serentak dengan programs ‘Mengibar Bendera’ sempena Bulan Kemerdekaan 2022.

“Dengan mengambil inisitif ini, pihak JKR Sabah akan berterusan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), JPJ dan PDRM serta pihak pelaksana projek bagi memastikan kepentingan rakyat di utamakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Di samping itu, beliau mengharapkan agar pengguna jalan raya turut sama menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan dengan mengibarkan bendera yang diagihkan ketika kempen dijalankan.

Katanya, bendera adalah wadah yang menggambarkan imej sesebuah negara dan mengibar Jalur Gemilang serta Bendera Negeri pada kenderaan akan menzahirkan semangat cintakan negara serta perpaduan selaras dengan tema Hari Kebangsan dan Hari Malaysia 2022 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Dalam pada itu katanya, objektif utama kempen itu ialah untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan menitikberatkan aspek keselamatan di jalan raya terutamanya di kawasan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Di samping itu katanya, ianya merupakan sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun.

“Kempen ini juga bertujuan untuk menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Sabah dipelbagai peringkat, hebahan mesej kenegaraan dan menggalakkan orang awam mengibarkan Jalur Gemilang serta Bendera Negeri Sabah untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Kempen yang dijalankan secara berperingkat selama sebulan diadakan sepanjangan jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini bermula semalam pada Pakej Kerja 7, menaik taraf jalan dari Inanam ke Sepanggar.

“Ia seterusnya akan dijalankan pada Pakej Kerja 3 menaik taraf jalan dari Beaufort ke Bongawan dan akan berakhir pada 10 September 2022 di pakej kerja 27, menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32,” katanya.

Dalam kempen tersebut, turut diagihkan beg cenderahati daripada jawatankuasa pelaksana dan kumpulan Petronas yang mengandungi kit risalah keselamatan, tema hari kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, pelekat reflektif keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh wakil dari JPJ, Madzlan Osmar; PDRM, Inspektor Alexender Anak Michael Nyandoh; Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Kinabalu serta Ketua Petronas Sabah serta Labuan, Siti Ayu Haniza.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|