Pusat Bantuan Guaman Wanita JHEWA kendali 46 kes

Pusat Bantuan Guaman Wanita JHEWA kendali 46 kes

Tuaran: Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) berjaya mengendalikan sebanyak 46 kes berkaitan kekeluargaan dan penganiayaan dari sudut syariah, sivil dan adat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berdasarkan statistik terkini dari Januari 2022 hingga Jun 2022, sebanyak 40 kes dikendalikan di Kota Kinabalu, empat kes di Kota Belud dan dua kes di Sandakan.

Hajiji melawat kaunter perkhidmatan KWSP selepas merasmikan Program Jerayawara Jelajah Sabah di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.

“Diharapan menerusi usaha yang dilaksanakan oleh JHEWA ini, lebih ramai golongan wanita khususnya dapat dibantu untuk diwakili di mahkamah dalam kes-kes kritikal dan lama tidak selesai.

“Perkhidmatan Bantuan Guaman oleh JHEWA khas untuk wanita yang memerlukan pembelaan dan nasihat berkaitan perundangan dan golongan hawa perlu mengetahui fungsi perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika merasmikan Program Jerayawara
Jelajah Sabah di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan JHEWA serta mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Daerah Tuaran adalah destinasi kelima pelaksanaan program Jerayawara Jelajah Sabah yang bermula sejak bulan Julai lalu selepas daerah Ranau, Tawau, Lahad Datu dan Putatan.

Program itu juga akan diteruskan ke beberapa daerah lain.

Hajiji berkata, program Jerayawara Jelajah Sabah amat bermakna kepada rakyat bagi mengetahui lebih lanjut produk dan perkhidmatan yang diberikan oleh MPWS, JHEWA, KWSP, PERKESO dan AKPK yang berkaitan bantuan guaman, tanggungjawab majikan, hak pekerja, caruman dan penyelesaian masalah kewangan.

“Kerajaan negeri komited menyokong pelaksanaan program ini kerana ia turut membantu usaha kerajaan memberi lebih banyak maklumat yang bermanfaat kepada rakyat.

“Saya berharap program seperti ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat untuk lebih mengetahui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program berlangsung oleh agensi-agensi yang terbabit.

“Saya juga berharap agar semua info dan perkongsian yang telah disampaikan oleh agensi-agensi pada hari ini memberikan manfaat yang berguna kepada peserta program dan segala ilmu yang diperoleh ini dikongsikan kepada saudara mara serta rakan terdekat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|