Lahad Datu: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Kilometer 9, Jalan Lahad Datu-Tungku, semalam.
Dalam kejadian jam 7.22 malam itu, mangsa yang maut berusia 40 tahun manakala pembencongnya seorang wanita berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah.
Seorang lagi penunggang motosikal remaja berusia 18 tahun yang bertembung dengan motosikal mangsa turut mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa yang maut dan pemboncengnya bergerak dari arah Jalan Tungku ke Lahad Datu.
Manakala katanya, penunggang remaja terbabit pula bergerak dari arah bertentangan sebelum tiba-tiba hilang kawalan dan terus memasuki laluan mangsa yang maut.
“Kedua-dua motosikal bertembung dan mengakibatkan mangsa berusia 40 tahun maut di lokasi kejadian.
“Manakala dua lagi membabitkan pembonceng dan penunggang motosikal remaja terbabit pula mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan Shah berkata, kedua-dua mangsa yang cedera terus dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan mendapati, kedua-dua penunggang motosikal tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
“Namun sampel darah akan diambil untuk di analisa oleh Jabatan Kimia bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Rohan Shah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat Sub Inspektor Yuslee Yussof ditalian 089-881255 bagi membantu siasatan.
-Deasoka