Lelaki terjun Jambatan Sungai Petagas ditemui lemas

Lelaki terjun Jambatan Sungai Petagas ditemui lemas

Penampang: Pencarian seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam sungai dari Jambatan Sungai Petagas, di sini, tengah hari tadi, akhirnya ditemui lemas.

Mayat Ismail Zainal, 31, ditemui lengkap berpakaian kira-kira jam 3.50 petang selepas lebih 3 jam hilang.

Pasukan bomba menemui mayat mangsa tidak jauh dari lokasi kejadian di Sungai Petagas.

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Putatan menuju Kepayan tiba-tiba memberhentikan motosikalnya di atas Jambatan Sungai Petagas, sebelum bertindak terjun ke dalam sungai.

Orang awam yang melihat kejadian itu kemudian cuba menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum mangsa hilang di permukaan sungai.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 12.57 tengah hari.

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE Kota Kinabalu.

Katanya, susulan laporan itu, pihaknya bersama pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR kemudian dijalankan pasukan bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) serta Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah.

Mohd Haris ketika ditemui di lokasi kejadian.

“Mangsa akhirnya ditemui oleh anggota PPDA tidak jauh dari lokasi mangsa kali terakhir dilihat oleh orang awam di sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Ditanya mengenai motif mangsa terjun, Mohd Haris berkata, motif terlalu awal untuk dimaklumkan.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan.

“Ia (motif) masih dalam siastaan. Kita akan dapatkan maklumat lanjut apa motif sebenar mangsa bertindak terjun,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Penampang, Zeno Tingalan berkata, operasi membabitkan seramai 26 anggota dari BBP Penampang dan Kota Kinabalu termasuk anggota PPDA.

Katanya, sebaik mangsa ditemui, operasi SAR ditamatkan jam 4 petang tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|