Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah terima sambutan menggalakkan

Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah terima sambutan menggalakkan

Kota Kinabalu: Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah 2022, Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang bakal berlangsung 15 hingga 18 September depan mencatat sejarah dengan penyertaan terbanyak daripada 52 pasukan.

Malah pasukan yang menyertai kejohanan dwi tahunan itu turut membabitkan satu pasukan dari Singapura.

Presiden Persatuan Bola Baling Sabah (SABHA), Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM36,000 dan trofi untuk dua kategori lelaki dan wanita.

Katanya, hadiah utama kejohanan bagi kategori lelaki adalah sebanyak RM10,000 manakala bagi kategori perempuan pula menawarkan hadiah wang tunai RM5,000.

“Kejohanan ini bukan saja disertai kelab, persatuan dan pasukan persendirian dari negeri Sabah bahkan juga dari negeri Selangor, Sarawak, Pahang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan, Putra Jaya dan Kuala Lumpur.

“Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah dengan sambutan amat menggalakkan daripada 29 pasukan lelaki dan 23 pasukan perempuan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Hotel Golden, di sini, hari ini.

Awang Aslee berkata, kejohanan selama tiga hari itu akan diadakan di kawasan gelanggang futsal Yayasan Sabah.

Katanya, kejohanan akan turut diadili oleh seramai 24 orang pengadil berpengalaman dari seluruh negara termasuk dua pengadil dari negara jiran, Indonesia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|