Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup 8,000 liter petrol

Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup 8,000 liter petrol

Lahad Datu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup keluar minyak petrol dalam operasi di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 3.30 pagi itu, sebanyak 8,000 liter minyak petrol bersubsidi dirampas dan empat individu ditahan berusia 20 hingga 70 tahun ditahan.

Bot dan lori dengan muatan tong berisi petrol disita untuk siasatan lanjut. Pix Ihsan Maritim Malaysia 

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di lokasi.

Katanya, berdasarkan maklumat, bot peronda Maritim Malaysia terus diatur gerak ke lokasi bersama pasukan darat untuk melakukan pemeriksaan dan serbuan.

“Hasil serbuan melalui laut dan darat, berjaya menahan tiga lelaki tempatan bersama seorang warga asing dari Filipina.

“Semasa serbuan, semua suspek didapati sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo dan dipercayai bertujuan untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, pemeriksaan lanjut terhadap dokumentasi bot kargo berkenaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol.

“Dalam operasi ini, Maritim Malaysia menyita sebuah bot kargo bersama sebuah lori yang membawa 40 tong drum minyak petrol dengan nilai keseluruhan berjumlah RM286,400.

“Semua suspek dan barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Nik Mohd Rizam berkata, Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah diperairan Lahad Datu.

“Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam ditalian 089-885727 atau MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|