Pusat Kebudayaan PRBSS mantapkan sosiobudaya etnik Bajau Sama

Pusat Kebudayaan PRBSS mantapkan sosiobudaya etnik Bajau Sama

Tuaran: Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) yang sekian lama dinanti-nantikan rumpun Bajau Sama, mampu menyumbang kepada kebanggaan dan kemajuan sosiobudaya etnik Bajau Sama di negeri ini.

Pusat Kebudayaan PRBSS yang siap sepenuhnya pada Julai lalu di kawasan seluas 3.5 ekar di Kampung Lok Batik, di sini, juga menjadi satu lagi tarikan baharu kepada pelancong, selain sebagai mercu tanda etnik yang ada di negeri ini.

Hajiji menyempurnakan gimik perasmian Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata selepas kejayaan menubuhkan PRBSS pada Mei 2012, semua ahli persatuan tidak pernah berhenti berusaha untuk memastikan pembinaan pusat kebudayaan yang dirancang dapat dilaksanakan.

“Alhamdulillah, dalam tempoh yang singkat iaitu dalam 10 tahun penubuhan PRBSS, usaha gigih ahli yang berdedikasi termasuk barisan Majlis Tertinggi PRBSS telah membuahkan hasil dengan siapnya Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama ini. Syabas kepada anda semua.

Hajiji menerima cendera kenangan daripada Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Japlin Akim sempena Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran.

“Adalah juga menjadi matlamat kami dalam menubuhkan PRBSS dan bangunan Pusat Kebudayaan untuk memperbaiki amalan budaya etnik Bajau Sama agar selari dengan amalan etnik lain.

“Justeru, dengan kejayaan membina pusat kebudayaan ini, saya mahu PRBSS terus konsisten dalam memastikan etnik Bajau Sama tidak dilupakan ataupun terlepas pandang, terutama generasi muda disebabkan oleh perkembangan teknologi yang semakin pesat,” katanya ketika merasmikan Pusat Kebudayaan PRBSS di Kampung Lok Batik, Tuaran, di sini, hari ini.

Hajiji ketika hadir pada Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran.

Dicadangkan setahun selepas penubuhan PRBSS pada 8 Mei 2012, akhirnya bangunan itu siap pada Julai tahun ini.

Pembinaannya diluluskan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman di tapak seluas 3.5 ekar untuk pembinaan pusat kebudayaan itu dengan majlis pecah tanah dilaksanakan pada 2017 membabitkan peruntukan sebanyak RM7.5 juta sebagai kos pembinaan awal.

Bagi pihak PRBSS, Hajiji yang juga presiden persatuan itu turut merakamkan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri itu kerana pusat kebudayaan berkenaan tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa bantuan dan kerjasama daripadanya.

Sementara itu, Hajiji berkata idea untuk menubuhkan sebuah badan untuk menjaga budaya dan tradisi Rumpun Bajau Sama tercetus daripada keinginan untuk memastikan semua yang terkandung dalam Rumpun Bajau Sama dapat dipelihara hingga ke anak cucu.

“Saya masih ingat lagi ketika kami berkumpul di sebuah hotel di Kota Kinabalu untuk menggerakkan idea ini dengan penuh semangat.

“Hari ini, saya amat berbangga kerana ramai ahli-ahli PRBSS mempunyai fikiran yang sama merangkumi semua etnik Bajau Sama di seluruh pelusuk negeri Sabah, termasuk suku kaum Bajau di sebelah pantai timur Sabah yang berkongsi hasrat yang sama untuk bersatu sebagai keluarga besar Rumpun Bajau Sama.

“Kita semua berasa bangga kerana mempunyai persatuan untuk pelihara dan mempertahankan adat serta kepercayaan dan keaslian budaya serta bahasa etnik Bajau Sama agar terus berkekalan,” katanya.

Hajiji berkata persatuan itu mengiktiraf kerja baik yang telah dibuat oleh persatuan-persatuan seperti United Sabah Bajau Organisation (USBO) yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS).

“Saya percaya kami akan dapat bekerja bersama-sama, bukannya bersaing antara satu sama lain untuk mencapai matlamat bersama bagi mengukuhkan Rumpun Bajau Sama.

“PRBSS juga berusaha untuk bekerjasama dengan organisasi kebudayaan lain agar kita sama-sama dapat memakmurkan objektif untuk mencapai perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Kita menyedari kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik dengan lebih 30 kumpulan etnik dan hampir 200 kumpulan sub etnik, merupakan ciri keunikan dan kepelbagaian budaya di negeri ini.

“Sudah pasti tradisi masyarakat di Sabah akan menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini,” katanya sambil menambah perpaduan dalam kepelbagaian dan warna-warni seni budaya itulah yang menjadikan Sabah unik serta istimewa.

Sehingga kini, Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah mempunyai 17 cawangan PRBSS di seluruh Sabah, iaitu di Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud, Tenghilan, Tamparuli, Kuala Menggatal, Kota Kinabalu, Petagas, Papar, Kuala Penyu, Pulau Banggi, Beluran, Sandakan, Tawau dan Semporna.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Menteri Sains, Teknologi dan Invovasi, Datuk Yakub Khan serta Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Ruddy Awah.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Pengerusi Jawatankuasa Perasmian Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah yang juga Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Japlin Akim serta Presiden dan Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Etnik Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|