PNS Beaufort anjur derma darah sempena Hari Kebangsaan

PNS Beaufort anjur derma darah sempena Hari Kebangsaan

Beaufort: Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Beaufort mengadakan program derma darah sebagai simbolik menzahirkan rasa cinta kepada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Program itu yang diadakan di Dewan Serbaguna perpustakaan berkenaan semalam berjaya mengumpul sebanyak 46 beg darah.

Ketua Cawangan PNS Beaufort, Norhayati Mohd Yasin turut menderma darah.

Inisiatif berkenaan antara lain untuk memupuk sikap membantu golongan yang memerlukan selain mencegah sikap indivudalistik dan mengukuhkan sikap prihatin yang melangkaui ras dan bangsa apabila darah didermakan tanpa mengenal siapa penerimanya demi menyelamatkan nyawa.

Program itu turut diserikan dengan pengisian program lain seperti lawatan sambil belajar dari Kolej Vokasional Beaufort, program kraftangan yang mana pengunjung boleh membuat sendiri kraftangan manik berdasar kreativiti dan idea masing-masing.

Pemeriksaan mata percuma turut disediakan pada program derma darah sempena Hari Kebangsaan PNS Beaufort. Ihsan Hospital Beaufort

Turut diadakan ialah pembukaan Kaunter Pemeriksaan Mata Percuma dari Klinik Mata Beaufort serta pembukaan kaunter promosi kesihatan.

Kerjasama di antara PNS Cawangan Beaufort dan Hospital Beaufort itu turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO iaitu Sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort yang turut membantu melancarkan program serta menaja keraian penderma yang hadir.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Cawangan PNS Beaufort, Norhayati Mohd Yassin; Pegawai Perubatan Hospital Beaufort, Dr Mohd Fairul Azwan Mohd Hussin; Ketua Unit Patologi dan Transfusi Darah Hospital Beaufort, Nur Izyani Mohd Nazri dan Pengerusi Sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort, Koh Chen Shiung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|