RM50 juta naik taraf Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun

RM50 juta naik taraf Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun

Sandakan: Sebanyak RM50 juta diperlukan bagi menaik taraf sepenuhnya Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun, di sini, yang kini sudah berusia 60 tahun.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, langkah berkenaan penting memandang pusat penyelidikan itu menghasilkan pelbagai kajian penting varieti tanaman pertanian di negeri ini.

Jeffery pada sidang media sempena sambutan Jubli Intan Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun, Sandakan.

Katanya, antara varieti tanaman bernilai komersial yang telah dilancarkan sebelum ini ialah kelapa pandan, klon pisang berangan, palma peach, buluh betong, klon pisang sekaki dan kelapa tacunan.

Selain itu, katanya turut dihasilkan ialah varieti tanaman baharu yang berkualiti dan memenuhi piawaian antarabangsa untuk eksport dan industri hiliran.

“Pusat penyelidikan ini amat penting, kita tidak mahu bergantung dengan pusat penyelidikan di luar sana mengenai tumbuhan kita di Sabah, di Borneo ini sebab nanti mereka curi kita punya produk komersial.

“Sebab itu perlunya kita naik taraf dan tambah baik fasiliti penyelidikan di Pusat Ulu Dusun. Pengarah Pertanian telah memohon supaya ada penaiktarafan dan tambahan fasiliti di pusat ini dan saya harap kerajaan boleh menimbangkan keperluan sebanyak RM50 juta untuk penambahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan (1962-2022), Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jeffrey berkata, Jabatan Pertanian Sabah turut mensasarkan kawasan bertanam nanas seluas 1,500 hektar dan menjadikan Sabah sebagai negeri ketiga pengeluar utama nanas negara.

Sasaran itu, katanya bakal menyumbang kepada 6.1 peratus daripada 17,228 hektar tanaman nanas di negara ini.

Beliau berkata, bagi memenuhi sebahagian daripada sasaran itu, klon nanas ‘qhud1’ akan ditanam di empat kawasan iaitu di Ranau, Tambunan dan dua kawasan di Papar.

Langkah berkenaan katanya diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah mencapai objektif dan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|