Pukat hanyut di perairan Sipadan sudah dialihkan

Pukat hanyut di perairan Sipadan sudah dialihkan

Kota Kinabalu: Tindakan telah diambil bagi mengalihkan pukat yang ditemui hanyut di perairan Taman Pulau Sipadan, Semporna.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, ia hasil usaha bersama penyelam dari beberapa operator pelancongan.

Ikan yu yang ditemui tersangkut pada pukat hanyut di perairan Pulau Sipadan.

Katanya, antara pihak yang terlibat ialah Seahorse Scuba Sdn Bhd, Dive Semporna dan Borneo Jungle.

“Semasa operasi mengalihkan pukat, terdapat 18 ekor ikan berbagai jenis seperti ikan kumai dan ogos, sementara dua ekor ikan yu ditemui tersangkut, serta sebahagian kecil terumbu karang mengalami kerosakan.

“Kerja-kerja mengalih pukat hanya dapat dilakukan sepanjang Barracuda Point sehingga hujung North Point dan masih lagi berbaki lebih kurang 200 meter menjelang waktu malam.

“Kerja-kerja itu disambung pagi tadi melibatkan seramai 25 orang penyelam dari beberapa operator yang berdaftar dengan Taman-Taman Sabah sehingga selesai mengalih pukat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jafry berkata demikian susulan insiden pukat nelayan yang hanyut dan terdampar di Taman Pulau Sipadan semalam.

Jelas beliau, berdasarkan laporan awal, pada 23 September sekitar jam 6 pagi, Renjer Taman bersama Dive Marshal yang sedang bertugas membersihkan pantai telah mendapati kehadiran pelampung pukat hanyut di tapak selaman Barracuda Point hingga ke Hanging Garden.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati serawan (seunit) pukat hanyut sepanjang 900 meter tersangkut di kawasan selaman tersebut.

“Pada jam lebih kurang 9.40 pagi, sebuah bot kayu (jongkong) memasuki kawasan Taman Pulau Sipadan, tanpa permit masuk yang sah dan pemilik bot tersebut telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, pemilik bot yang ditahan mengaku bahawa pukat tersebut adalah milik mereka dan telah hanyut dibawa arus ke kawasan Taman Pulau Sipadan,” katanya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pelaku serta pihak lain yang terbabit.

“Jika disebabkan kecuaian, tindakan sewajarnya patut diambil sebagai iktibar semua pihak agar lebih berhati-hati pada masa akan datang,” tegas beliau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|