Kabinet Sabah setuju had tempoh jawatan Ketua Menteri 2 penggal

Kabinet Sabah setuju had tempoh jawatan Ketua Menteri 2 penggal

Telupid: Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berikutan itu, cadangan berkenaan akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Hajiji disambut ribuan penyokong GRS pada Program Jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid.

Katanya, satu usul pindaan Perlembagaan Negeri akan dibentangkan pada persidangan itu sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat keputusan sama ada meluluskannya atau sebaliknya.

“Saya telah mencadangkan perkara ini dan Kabinet Negeri telah bersetuju. Jadi, sekiranya rakyat dan semua ADUN kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kita akan bawa ke persidangan DUN Sabah akan datang untuk meminda Perlembagaan Negeri.

“Ini kerana mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri melibatkan soal perundangan, justeru Perlembagaan Negeri perlu dipinda melalui Persidangan DUN Sabah,” katanyapada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Beluran di Dataran Telupid, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum dan ADUN Labuk, Samad Jamri.

Program Jelajah GRS Parlimen Beluran adalah siri jelajah keempat selepas Keningau, Kudat dan Lahad Datu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri itu adalah satu lagi inisiatif yang dibawa oleh kerajaan GRS – Barisan Nasional (GRS-BN).

Beliau berkata, GRS yang terdiri daripada parti berbilang kaum dan kepercayaan agama adalah wadah dan platform menyatukan pemimpin serta rakyat Sabah bersama-sama memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Sabah.

Katanya, sudah sampai masanya pemimpin parti tempatan Sabah bersatu hati dalam satu wadah iaitu GRS untuk sama-sama berjuang menuntut dan menjaga kepentingan Sabah.

“Kita tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan dan menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata, matlamat GRS ialah menyatupadukan parti-parti tempatan di negeri ini dan memastikan Sabah maju dan diperintah oleh parti tempatan pada masa akan datang.

“Kita perlu belajar dari pengalaman pada masa lampau. Dalam politik, bagaimana keadaan kita apabila kita berpecah, kerana itu, sudah sampai masanya rakyat Sabah dan parti-parti politik tempatan di Sabah mesti bergabung dalam satu gabungan yang kita panggil GRS.

“Tujuannya ialah untuk memastikan Sabah maju ke depan, Sabah Maju Jaya pada masa akan datang. Ini amat penting kerana kalau kita masih bercakaran dan berpecah, tidak mungkin kita berjaya.

“Kalau kita tidak bersatu hati dalam satu gabungan, tidak mungkin kita berjaya dalam politik, apatah lagi untuk membangun negeri Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menyeru agar jentera GRS diaktifkan di semua kawasan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, jentera GRS mesti turun ke kampung-kampung memberi penerangan kepada rakyat mengenai matlamat dan perjuangan GRS.

Beliau juga meminta rakyat Beluran memastikan calon yang dipilih mewakili GRS menang di kerusi Parlimen Beluran pada PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|