Putatan: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan misi menyantuni masyarakat di sekitar daerah ini menerusi program ziarah terhadap penduduk sakit dan kurang bernasib baik.
Ia sejajar komitmen YBR dalam hal kebajikan termasuk mengambil perhatian terhadap masalah yang dihadapi masyarakat sekitar dan membantu meringankan beban mereka.
Dalam program kali ini, YBR yang diketuai Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Jefferey Nor Mohamed, menziarahi beberapa individu yang dikenal pasti memerlukan bantuan.
Antaranya pesakit tiroid, Zaitun Ishak, 34, yang kini hanya berbaring di rumah selepas menjalani pembedahan untuk merawat masalah tiroid yang dihidapinya.
Zaitun yang turut menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi sejak lebih 10 tahun lalu mengalami kesukaran untuk berjalan dan amat memerlukan sumbangan kerusi roda selain katil bagi memudahkannya bergerak selain lebih selesa apabila berbaring.
Jefferey Nor berkata, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, beliau akan cuba untuk menyediakan keperluan katil hospital kepada Zaitun.
“Kerja kebajikan adalah sebahagian daripada program YBR dan saya akan cuba sebaik mungkin, termasuk memberi bantuan yang diperlukan, misalnya seperti kerusi roda, bekalan makanan dan sebagainya, bergantung kepada keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Turut serta dalam program ziarah YBR di sekitar Putatan baru-baru ini ialah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Melalui Program Ziarah YBR, katanya bantuan dan sumbangan segera akan dapat diberikan kepada individu yang memerlukan peralatan atau apa saja bentuk keperluan lain.
Sebelum ini YBR pernah memberikan peralatan bantuan pernafasan, mesin Braile dan pelbagai peralatan lain yang boleh membantu pesakit daripada golongan kurang berkemampuan.
Penduduk yang dilawati YBR menzahirkan rasa syukur kerana ada pihak yang mengambil berat mengenai mereka dan datang bertanya khabar.
Mereka turut berharap program ziarah seperti itu dapat diadakan lebih kerap agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai golongan kurang berkemampuan.
Menerusi program ziarah YBR, tumpuan diberikan kepada golongan asnaf, B40 dan mereka yang sedang dilanda musibah seperti sakit dan perlu dibantu.
Selain Program Ziarah, YBR juga melaksanakan program bantuan persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam kelengkapan persekolahan anak-anak.
-Deasoka