Pelatih Kor Suksis cerah masa depan bersama PDRM

Pelatih Kor Suksis cerah masa depan bersama PDRM

Kota Kinabalu: Pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) digalakkan untuk memilih bidang kepolisan sebagai kerjaya utama selepas menamatkan pengajian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, mereka mempunyai peluang kerjaya yang cerah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Idris menyampaikan sijil pentauliahan kepada seorang pelatih Kor Suksis di Dewan Canselor, UMS.

Katanya, berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi sepanjang latihan selama tiga tahun, mereka merupakan antara calon yang terbaik untuk menjadi sebahagian daripada barisan hadapan negara.

“Anda boleh memohon jawatan-jawatan berpandukan kepada tawaran pengambilan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Pengalaman yang diperolehi sepanjang latihan bersama Kor Suksis selama tiga tahun akan menjadi kelebihan dalam proses saringan dan temuduga yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Suksis Zon Borneo Tahun 2022, di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin; Pesuruhjaya Polis Sarawak; Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Seramai 106 pelatih Kor Suksis yang terdiri daripada pelajar UMS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya menamatkan latihan dan menerima sijil pentauliahan mereka dalam majlis itu.

Sementara itu, Idris turut menyeru pelatih Kor Suksis supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi segala bentuk gejala sosial serta pelanggaran undang-undang yang boleh mencemarkan imej diri dan negara.

“Sebagai pegawai Kor Suksis anda seharusnya menjadi contoh ikutan kepada pelajar-pelajar lain dengan sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi graduan yang berjaya dan cemerlang dalam segala aspek.

“Saya berharap anda dapat mengamalkan disiplin yang tinggi, berintegriti dan mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|