KEPMAS optimis lindungi kebajikan ahli

KEPMAS optimis lindungi kebajikan ahli

Kota Kinabalu: Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Wilayah Sabah dan Labuan (KEPMAS) optimis untuk terus mara ke hadapan demi melindungi dan memperjuangkan hak serta kebajikan ahli-ahlinya.

Presiden KEPMAS, Jekeria Semat berkata, sejak tertubuhnya KEPMAS 30 tahun yang lalu dengan kekuatan seramai 294 ahli, banyak kejayaan yang telah dikecapi antaranya peningkatan dari segi gaji pekerja.

Katanya, semua gaji permulaan di Malaysia Airport Berhad (MAB) di antara yang paling tinggi dibandingkan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.

“Selain itu, penambahan elaun-elaun baharu seperti elaun pengangkutan, elaun perumahan, menambah baik berkaitan kebajikan pekerja seperti cuti ehsan, cuti melahirkan anak dan banyak lagi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Wilayah Sabah dan Labuan kali ke-12, di sini, baru-baru ini.

Menurut Jekeria, sejak pandemik Covid-19 menular serta berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak negara di seluruh dunia dengan cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Ekonomi dunia terjejas dan kita tidak terkecuali apabila data menunjukkan ekonomi kita merosot secara mengejut pada suku kedua 2020. Tidak cukup dengan itu, di Malaysia kadar pengangguran telah meningkat mendadak.

“Saya percaya ramai di kalangan kita pada waktu itu terkesan melihat keadaan dunia apatah lagi bila tercetusnya rasa bimbang dalam kalangan kita bila melihat banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang tinggi.

“Lebih menyedihkan kita sendiri melihat banyak syarikat yang terpaksa memberhentikan pekerja akibat tidak mampu membayar gaji dan meneruskan perusahaan masing-masing.

“Bagaimanapun kita yang bekerja di MAB ini masih bersyukur kerana syarikat sentiasa menjaga kebajikan warga kerjanya dengan tidak membuat sebarang pemotongan gaji atau elaun malah tiada warga kerja diberhentikan disebabkan pendemik Covid-19,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan kepada semua warga kerja supaya berganding bahu dan memberikan sokongan padu kepada MAB sekali gus meningkatkan prestasi kerja seperti yang diamanahkan.

“Maju mundur sebuah lapangan terbang itu bukan terletak di bahu ‘airport manager’ atau ketua-ketua unit semata-mata, tetapi memerlukan sokongan padu dari semua warga kerja,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|