4 sekolah jadi tumpuan Majlis Guru Besar Lahad Datu

4 sekolah jadi tumpuan Majlis Guru Besar Lahad Datu

Lahad Datu: Empat sekolah di Tawau dan Kunak menerima lawatan Majlis Guru Besar Daerah Lahad Datu (MGBDLD) sesi 2021-2023 menerusi dua siri Lawatan Penanda Aras di bawah Biro Pendidikan baru-baru ini.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi Kunak, Sekolah SK Tanjung Batu Keramat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chin dan SJKC Kung Ming di Tawau.

Siri Lawatan Penanda Aras MGBDLD ke sebuah sekolah di Kunak dan Tawau.

Pengerusi program, Rahim Damit berkata, objektif Lawatan Penanda Aras itu adalah sebagai perkongsian pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Katanya, ia termasuk kejayaan yang dicapai dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid melalui pemupukan dan kerjasama padu serta jaringan dalam bidang pendidikan sekolah-sekolah berkenaan.

“Dalam lawatan di keempat-empat sekolah berkenaan, rombongan kami telah disajikan dengan pelbagai informasi dan bentuk transformasi serta inovasi yang telah dicapai serta dibawa melawat persekitaran sekolah.

“Rombongan ini juga berpeluang melawat tandas contoh lima bintang, taman mini berinformasi, kolam hiasan, galeri barang lama, pusat sumber sekolah contoh, dewan serbaguna, bilik gerakan, pengurusan kantin terbaik, pusat akses sekolah, pengurusan fail, pengurusan TS25, bilik STEM dan beberapa lagi kejayaan sekolah berkenaan.

“Selain itu, turut dimaklumkan mengenai kejayaan sekolah itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menandatangani perjanjian jalinan kerjasama pintar antara sekolah-sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rahim dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada guru besar semua sekolah yang terlibat dalam lawatan itu.

Rombongan MGBDLD terdiri daripada 36 guru besar dan siri lawatan berlangsung selama dua hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|