208 PATI warga Filipina diusir pulang

208 PATI warga Filipina diusir pulang

Kota Kinabalu: Seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan diusir pulang ke negara asal menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia, semalam.

Semua tahanan berkenaan diusir menerusi Program Pengusiran Tahanan PATI Siri 10/2022 hasil kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dengan pelbagai agensi dan Pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur.

Sebahagian tahanan PATI warga Filipina diusir pulang ke negara asal mereka menggunakan Feri MV Antonia melalui Pelabuhan Sandakan. Gambar Ihsan JIM Sabah

Pengarah JIM Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran pulang itu dibuat melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Katanya, tahanan yang diusir pulang adalah membabitkan 97 tahanan lelaki, 60 tahanan wanita dan 46 kanak-kanak serta lima bayi berusia lingkungan 1 hingga 69 tahun.

PATI diperiksa sebelum diusir pulang di Pelabuhan Sandakan. Gambar Ihsan JIM Sabah

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Seramai 208 PATI warga Filipina diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, semalam. Gambar Ihsan JIM Sabah

Menurutnya, pengusiran PATI kali ini hanya membabitkan tahanan warganegara Filipina dari Depot Sandakan berbanding sebelum ini yang melibatkan tahanan dari semua empat depot di seluruh negeri Sabah.

Sehubungan itu, Sitti Saleha berkata, semua warga asing diingatkan supaya memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran masuk sebelum berada di Sabah.

Katanya, semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.

“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI.

“Pengusiran dibuat selepas semua PATI terbabit melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|