Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyumbang RM270,000 melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada wakalah zakat SESB bernilai RM893,036.
Katanya, zakat berkenaan diagihkan mengikut kategori yang ditetapkan syariah, dengan penerimanya datang dari pelbagai daerah di seluruh negeri.
“Sumbangan mengikut hukum syariah yang ditetapkan bagi penerima wakalah zakat ini membabitkan golongan asnaf dengan kadar sebanyak 47.2 peratus, diikuti pusat tahfiz (25.2 peratus), masjid dan surau (11.6 peratus) dan persatuan sebanyak 16 peratus.
“Program penyerahan ini bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu tetapi juga akan diadakan di daerah lain seperti Tawau, Sandakan, Tuaran, Papar dan Kinabatangan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), SESB dan Ahli Lembaga Pengarah SESB bersama warga kerja syarikat utiliti itu, di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SESB, Ghazalie Ansing dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam negeri, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.
Mohd Yaakob berkata, menerusi wakalah zakat itu juga, SESB membina dua rumah untuk golongan memerlukan di Kampung Tanjung Aru Lama, di sini dan Kampung Ambawa Kelatuan, Papar membabitkan kos RM130,700 melalui Program Baiti Jannati.
Pada majlis itu, SESB menyampaikan sumbangan kepada Surau Al-Amin Tanjung Aru dan Masjid Al Fatah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang serta dua pusat tahfiz iaitu Pusat Pengajian Tahfiz Al Quran As Syatibiyah dan Maahad Tahfiz Darul Hadis Sabah.
Turut menerima sumbangan SESB ialah seramai 75 pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Toh Puan Hajah Rahmah, Kinarut dan 10 asnaf dari sekitar Petagas, Putatan.
-Deasoka