WARISAN kekal pendirian perkukuh parti sebelum bentuk kerjasama

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) kekal dengan pendirian untuk mengukuhkan parti mereka terlebih dahulu sebelum memulakan kerjasama dengan mana-mana pihak.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan sebagai pembangkang beliau mahu perkukuhkan parti itu terlebih dahulu.

Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung pada majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Al-Falah, Kampung Tebobon Manggatal.

“Pada saat ini kita ialah pembangkang tetapi apa yang penting bagi kita, kita susun atur rumah kita dulu. Saya tidak mahu fikir parti lain sama ada DAP, PKR, Pejuang atau parti-parti lain. Saya siapkan tiang pintu rumah saya dulu.

“Kita perkuatkan WARISAN dan kawasan Parlimen yang kita dapat, ini merupakan perkara yang menjadi keutamaan,” katanya pada majlis berbuka puasa dan solat Terawih berjemaah di Masjid Al-Falah, Kampung Tebobon Manggatal, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas sama ada WARISAN mampu membentuk kerjasama dengan DAP pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa gabungan dengan parti lain tidak memberi erti kerana rakyat yang menentukan siapa akan menjadi kerajaan.

“Tiada erti kita bergabung dengan semua pihak seperti di Johor Pakatan Harapan (PH) bergabung dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Amanah Negara (AMANAH), hampir kalah semuanya.

“Jadi tiada erti bahawa bila gabungan dengan mana-mana pihak kerana rakyat yang tentukan siapa jadi kerajaan atau wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ingin merampas kerusi Parlimen Batu Sapi, Mohd Shafie berkata, perkara itu akan ditentukan oleh rakyat sendiri.

“Kita tunggu saja pilihan raya yang menentukan, bukan parti BERSATU. Yang menentukan di semua kerusi yang ada ialah rakyat, mereka juga yakin menang di Johor tetapi tengok-tengok kalah juga di Johor. Jadi biar rakyat menentukannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|