Jadikan Ramadan medan rapatkan hubungan silaturahim – Japlin

Kota Belud: Masyarakat diminta mengetepikan sementara perbezaan fahaman politik dan menjadikan bulan Ramadan sebagai medan yang terbaik untuk merapatkan hubungan sesama sendiri.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Belud, Datuk Japlin Akim berkata, bulan Ramadan merupakan satu tempoh masa untuk proses pengukuhan umat sejagat meliputi perpaduan, pemurnian jiwa, pematuhan rukun, perdamaian, kasih sayang dan pembinaan jati diri umat Islam di negeri ini.

Japlin bersama penduduk kampung di kawasan Kota Belud

“Disiplin diri serta pematuhan segala rukun sepanjang Ramadan sepatutnya dihayati serta diamalkan sepanjang kehidupan demi memartabatkan tamadun manusia itu sendiri.

“Sudah tiba masanya umat Islam memanfaatkan ibadah itu bagi meningkatkan pengetahuan yang tidak terhad kepada sudut keagamaan sahaja,” katanya ketika hadir berbuka puasa dan menunaikan solat sunat terawih bersama penduduk kampung di kawasan Kota Belud, di sini, semalam.

Beliau bersyukur selepas pandemik Covid-19 selama dua tahun akhirnya diberi peluang untuk kembali seperti biasa termasuk beribadah di masjid.

“Alhamdulillah, (kita) dibenarkan ke masjid seperti biasa. Ini satu manfaat besar kepada kita semua kerana sudah boleh beramai-ramai di masjid pada Ramadan ini.

“Tiada lagi penjarakan fizikal, bermakna ini peluang untuk kita eratkan silaturahim,” katanya.

Japlin juga turut mengajak umat Islam dapat memenuhi bulan Ramadan kali ini dengan kesyukuran kerana terselamat ketika mengharungi ujian Covid-19.

“Syukuri nikmat Allah ini kerana kita diberi kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadan 2022 ini. Ada yang sudah pergi disebabkan Covid-19, dan Ramadan 2021 adalah yang terakhir buat mereka.

“Justeru, kita yang masih diberi peluang untuk menunaikan ibadah puasa dan solat sunat tarawih, bersyukurlah,” katanya.

Antara masjid yang dihadiri beliau termasuk Masjid Kampung Kuala Abai, Masjid Kampung Tambulion, Masjid Kampung Buah Pandai dan Masjid Kampung Pintasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|