MTIB perkasa usahawan Bumiputera Sabah dalam industri perkayuan

MTIB perkasa usahawan Bumiputera Sabah dalam industri perkayuan

Tawau: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) komited untuk terus memperkasakan industri perkayuan dalam kalangan usahawan Bumiputera di Sabah.

Sehubungan itu, satu sesi dialog bersama Ketua Pengarah MTIB, Mahpar Atan dengan usahawan Bumiputera diadakan untuk menerangkan pelbagai program MTIB yang memberi manfaat kepada mereka, di sini, semalam.

Beliau berkata, ia termasuk berkaitan permohonan pinjaman modal tanpa faedah, bantuan peralatan mesin dan cara pemasaran tempatan serta luar negara.

“MTIB ada menyediakan beberapa bentuk bantuan, antaranya kita menyediakan bantuan bahan mentah, mesin kerja kayu dan MTIB juga ada menyediakan pelbagai bentuk latihan.

“Khidmat nasihat juga disediakan kepada pengusaha kayu Bumiputera sama ada khidmat untuk memasarkan produk mereka di pasaran tempatan atau eksport dan mengenai bekalan bahan mentah, macam mana mereka boleh dapat bekalan bahan mentah yang berterusan dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Katanya, melalui sesi dialog itu, usahawan Bumiputera yang menyertainya didedahkan kepada kaedah mendapatkan bantuan untuk memperoleh bahan mentah secara berterusan.

“Pada hari ini kita dapat berjumpa dengan pengusaha yang terlibat dalam pemprosesan untuk kilang kayu bergergaji, produk perabot dan juga penanaman kayu gaharu.

“Contohnya masalah yang mereka hadapi seperti kilang papan, macam mana mereka mendapatkan bekalan balak yang berterusan daripada pembekal balak dalam di Sabah, itu satu isu yang mereka hadapi, sebenarnya bukan bekalan balak tidak mencukupi tetapi kurangnya kemampuan mereka untuk membeli bekalan balak yang banyak,” katanya.

Sementara itu, peserta sesi dialog ketika ditemui berharap MTIB sentiasa memberikan bimbingan melalui penganjuran kursus dan bantuan modal tambahan.

Bagi Muhiddin Pare, usahawan yang membuat kraftangan berasaskan kayu kayan berharap MTIB memberikan bantuan penggunaan teknologi terbaru untuk mempelbagaikan .

“Saya ada buat kraftangan untuk penjual kraftangan pelancongan seperti rantai kunci di Semporna.

“Harapan saya kepada pihak MTIB agar sentiasa terus bersama pengusaha kayu ini dari segi pembinaan teknologi dan terus membantu kami,” katanya.

Bagi Samsir Bakri, seorang usahawan yang berkecimpung dalam penanaman kayu gaharu pula berharap agar MTIB terus memberi suntikan modal dan membantu dari segi pemasaran.

“Kalau kami dari pihak penanaman kayu gaharu, apa yang kami sangat perlukan ialah bantuan dari awal penanaman, khususnya inokulasi.

“Sebab gaharu kalau ditanam tiada apa-apa yang dibuat dan tiada hasil sementara menunggu matang. Kemudian bila ada hasil daripada pokok itu kami mengharapkan pihak MTIB membantu dari segi pemasaran,” katanya.

Sesi dialog bersama Ketua Pengarah MTIB itu dihadiri 25 usahawan dari sekitar daerah Tawau, Semporna dan Ranau.

Ketika ini terdapat 100 usahawan mikro Bumiputera di Sabah yang terlibat dalam industri perkayuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|