PPM rampas minyak petrol, cuba diseludup

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas beberapa tong jerikin berisi minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran di perairan daerah ini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, anggota PPM yang sedang menjalankan operasi pemantauan berjaya mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan.

Anggota PPM menunjukkan beberapa tong jerikin berisi minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua bot berkenaan terus memecut ke kawasan air cetek.

Katanya, kedua-dua suspek yang mengendalikan bot berkenaan kemudiannya terjun ke laut sebelum berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua bot menemukan beberapa jerikin berisi minyak petrol.

“Semua minyak petrol berkenaan bersama bot dan enjin terus dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, nilai rampasan yang berjaya dilakukan dalam kes ini dianggarkan sebanyak RM34,577.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Perahu yang dinaiki dua lelaki warga Filipina diusir keluar dari perairan negara oleh bot ronda PPM.

Sementara itu, Mohamad berkata, dalam kejadian jam 10 pagi hari yang sama, bot ronda PPM berjaya mengusir keluar sebuah perahu yang dinaiki dua lelaki warga Filipina.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, kedua-dua lelaki terbabit mengaku tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah.

“Pengusiran terus dibuat dan pasukan operasi mengiringi perahu berkenaan sehingga keluar dari perairan negara.

“Mereka turut diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid 19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|