RM2.391 bilion dibelanja untuk pembangunan Sabah setakat 4 September

RM2.391 bilion dibelanja untuk pembangunan Sabah setakat 4 September

Kota Kinabalu: Sabah sudah membelanjakan RM2.391 bilion di bawah Pusingan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga 4 September lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu mewakili pencapaian 45.67 peratus daripada RM5.235 bilion yang diperuntukkan bagi melaksanakan 1,118 projek pembangunan yang diluluskan di Sabah.

Berikutan itu, beliau berharap agar pelaksanaan projek dapat ditingkatkan bagi mengejar dan melepasi pencapaian nasional yang setakat ini merekodkan 54.44 peratus.

Beliau meminta semua kementerian dan agensi supaya mengambil perhatian dan membuat tindakan susulan berdasarkan laporan pencapaian secara terperinci yang dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).

“Kita mahu memastikan semua projek pembangunan yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat MTPNg di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata seramai 22,664 ketua isi rumah di Sabah akan mendapat manfaat daripada Skim Insurans Keluarga Malaysia (SKIM) yang diperkenalkan kerajaan.

Katanya, SKIM diwujudkan sebagai perlindungan sosial kepada kumpulan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam daftar e-Kasih di bawah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Jelasnya, antara manfaat menerusi pelan insurans patuh syariah atau takaful itu ialah perlindungan sehingga RM10,000 untuk kematian biasa, RM25,000 untuk kematian akibat kemalangan dan RM10,000 untuk hilang upaya kekal.

Hajiji berkata, SKIM menyediakan perlindungan 12 bulan bermula pada tarikh sijil ahli dikuatkuasa dan ia diurus secara eksklusif oleh PruBSN Takaful Berhad (PruBSN).

Mengenai isu perumahan untuk golongan miskin, Hajiji meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, Sabah untuk mempercepat pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri ini.

Beliau juga mahu agar kementerian itu dapat memastikan penyelarasan di antara agensi pelaksana dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berjalan dengan lancar.

“Saya mahu pemantauan sentiasa dilaksanakan dan saya akan tanya status perkembangan terkini,” katanya sambil menambah semua isu yang menjejaskan pelaksanaan perlu diselesaikan.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan 76 daripada 85 badan berkanun dan syarikat berkepentingan kerajaan (GIC) yang belum mewujudkan Unit Tadbir Urus dan Integriti (IGU) supaya melaksanakannya sebelum akhir tahun ini.

Katanya, setakat ini hanya sembilan sudah mematuhi arahan yang disasar untuk memastikan integriti dalam budaya kerja, ketelusan dalam menyampaikan perkhidmatan tanpa penyalahgunaan kuasa dan hak kepentingan selaras dengan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Beliau juga mengingatkan semua jabatan, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri yang belum mewujud dan melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi bahawa mereka ada masa sehingga Disember 2023 untuk melaksanakannya.

“Ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk memperkasa dan menanam integriti menerusi pelaksanaan tanggungjawab dalam sistem penyampaian kerajaan ke arah mencapai misi pembangunan mapan,” katanya.

Hajiji berkata, beliau melancarkan Hari Integriti Sabah pada 1 September lalu di bawah inisiatif Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mana beliau turut melancarkan buku Pelan Anti-Rasuah Jabatan Ketua Menteri (PAR-JKM) 2019-2023 yang disemak semula.

Buku itu katanya mengandungi 20 inisiatif yang dikemaskini sejajar dengan arahan dan agenda kerajaan ke arah mengukuhkan integriti, anti-rasuah dan tadbir urus yang baik.

Hajiji meminta semua pihak untuk bekerja bersama sebagai satu pasukan dan memanfaatkan MTPNg sebagai platform untuk berkongsi maklumat bagi perbincangan dan mencari penyelesaian terhadap isu yang menjejaskan projek pembangunan di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|