APM Sabah siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

APM Sabah siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Tawau: Seramai 1,200 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang berkemungkinan akan berlaku banjir di beberapa kawasan rendah di negeri ini.

Pengarahnya, Mohtar Samat berkata, semua anggota sudah diminta bersedia bagi menghadapi berlakunya bencana banjir.

Katanya, seramai 1,200 anggota dan pegawai di Sabah sudah bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Mohtar ketika berucap di Majlis Penutupan Kursus Kawad Kaki dan Kursus Pegawai Tak Bertauliah (PTB) Siri Khas APM Sabah.

“Jumlah itu tidak termasuk anggota bantuan yang lain dan kita sudah mengarahkan pegawai di kawasan masing-masing untuk menyampaikan informasi kepada mereka.

“Kita boleh kerahkan hampir 3,000 anggota untuk menghadapi Monsun Timur Laut seperti yang pernah kita lakukan semasa pandemik Covid-19,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Kawad Kaki dan Kursus Pegawai Tak Bertauliah (PTB) Siri Khas APM Sabah, di sini hari ini.

Mohtar memeriksa perbarisan peserta kursus kawad kaki di majlis berkenaan.

Mohtar berkata, APM kini mempunyai aset yang mencukupi di seluruh negeri untuk menjalankan tugas-tugas menyelamat sekiranya berlakunya bencana.

“Setakat ini, kita mempunyai sebanyak 111 bot pelbagai saiz, 16 ambulans, 15 lori dan 24 kereta pacuan empat roda di seluruh negeri.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan tumpuan yang berisiko berlakunya bencana banjir sekiranya bermula musim hujan.

“Contohnya, kawasan Penampang, Kota Marudu, Pitas, Tenom dan Beaufort adalah daerah yang kerap berlakunya banjir,” katanya.

Menurutnya, semua kawasan itu selalu berlaku banjir berdasarkan rekod dan ia dalam pemerhatian bila tibanya musim Monsun Timur Laut.

“Sekiranya berlaku hujan yang berpanjangan, APM akan memberikan informasi awal kepada ketua-ketua masyarakat dan pemimpin tempatan.

“Kita mahu sebelum berlakunya banjir, semua agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat sudah bersedia lebih awal bagi mengelak berlakunya kemalangan jiwa.

“Maklumat awal juga perlu sampai terlebih dahulu kepada penduduk, sebelum berlakunya banjir di kawasan mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|