RM2.3 juta geran untuk NGO Sabah tahun ini

RM2.3 juta geran untuk NGO Sabah tahun ini

Sandakan: Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.3 juta geran kepada pertubuhan bukan kerajaan (ngo) untuk meningkatkan gerak kerja sukarelawan dan kebajikan di Sabah bagi tahun ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, peruntukan berkenaan disalurkan melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS).

Beliau berkata, pihaknya amat menyanjung tinggi segala usaha, jasa dan sumbangan yang diberikan NGO di negeri ini.

Katanya, peranan dimainkan NGO seiring dengan usaha kementeriannya dalam membina masyarakat prihatin dan bertanggungjawab.

“Kementerian melalui MPMS memang ada peruntukan untuk NGO yang mengadakan aktiviti kebajikan di negeri Sabah.

“Untuk NGO yang berdaftar dengan MPMS, ia mempunyai formula untuk jumlah yang mereka akan dapat, manakala NGO yang tidak berdaftar dengan MPMS boleh memohon secara online.

“Ini untuk aktiviti kebajikan sama ada di daerah ataupun di peringkat negeri, jadi daripada permohonan tersebut nanti akan diproses, disemak dan sekiranya bertepatan maka geran tersebut bolehlah diberi kepada NGO yang memohon,” katanya pada ditemui pada majlis makan malam bersama pertubuhan sukarela kebajikan dan pelancaran Kasih Kongsi: Program Makanan Kanak-Janak Fasa Dua, di sini, semalam.

Shahelmey yang juga Presiden MPMS berkata inisiatif itu adalah salah satu usaha kementeriannya bagi membina hubungan baik dan perkongsian strategik bersama NGO agar perkhidmatan sosial kebajikan dapat berkembang dengan lebih luas.

Sehubungan itu, beliau menyeru NGO di Sabah supaya memohon dan menggunakan geran berkenaan dengan sebaiknya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|