Kibar bendera parti politik di stadium, siasatan akan dijalankan – Jelani

Kibar bendera parti politik di stadium, siasatan akan dijalankan – Jelani

Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Sabah Fc akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang mengibarkan bendera parti politik semasa perlawanan Liga Super di Stadium Likas, baru-baru ini.

Setiausaha Agung SAFA merangkap Pengarah Sabah FC Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, tindakan membawa bendera parti politik dalam mana-mana perlawanan bola sepak jelas satu perlanggaran undang-undang.

Katanya, ia bukan saja menjadi kesalahan malah melanggar etika dan pihak Sabah Fc juga boleh dikenakan tindakan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“SAFA dan Sabah FC memandang serius kesalahan ini dan kita sudah menjalankan siasatan awal bagi mengenalpasti kesahihan gambar-gambar yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Adalah tidak adil untuk kita menuduh mana-mana pihak atau parti. Oleh itu, siasatan terperinci dan mendalam perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Jelani berkata, semua pihak seharusnya bekerjasama dan menjadikan stadium sebagai tempat kondusif untuk semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Saya juga ingin menasihatkan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak supaya tidak membawa barang dilarang termasuk bendera parti politik atau berunsur hasutan dan sebagainya.

“Stadium adalah tempat bersukan dan bukannya untuk berpolitik. Kita tidak akan teragak-agak untuk menghalang mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini dari memasuki stadium di masa akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|