Bekas pengarah, pegawai kanan buat tuntutan palsu, minta suapan ditahan SPRM

Bekas pengarah, pegawai kanan buat tuntutan palsu, minta suapan ditahan SPRM

Kota Kinabalu: Seorang bekas pengarah dan pegawai kanan agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM175,000 dan meminta wang suapan berjumlah hampir RM60,000 daripada pihak kontraktor.

Kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 44 hingga 50 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, jam12.30 tengahari tadi, ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000.

“Namun tiada pembekalan mahupun program dilaksanakan oleh pihak terbabit.

“Dalam pada itu, bekas pengarah terbabit juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dalam tempoh 2017 hingga 2019,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009 .

“Tangkapan ini adalah hasil kerjasama di antara SPRM Sabah dan Unit Integriti agensi kerajaan berkenaan.

“Kedua-dua suspek terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok (Rabu) bagi tujuan permohonan reman,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|