RM2.3 juta elaun sara hidup disalurkan kepada nelayan Beluran

Beluran: Sebanyak RM2.3 juta dana disalurkan untuk elaun sara hidup nelayan yang memberi manfaat kepada 716 orang nelayan di Beluran pada tahun ini.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan ilIkan Malaysia (LKIM), Yusuf Othman berkata, elaun RM300 sebulan itu bagi membantu meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung nelayan.

“Setiap nelayan akan menerima RM300 sebulan dan secara keseluruhan, kerajaan menyalurkan sebanyak RM2.3 juta melalui LKIM untuk membayar elaun semua nelayan yang berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan elaun sara hidup nelayan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama nelayan di Pulau Jambongan, di sini, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak RM17,300 elaun sara hidup nelayan diserahkan kepada seramai 61 nelayan di pulau berkenaan.

Sementara itu, katanya LKIM turut menyalurkan peruntukan bagi menaik taraf jeti kampung Bahanan, Pulau Jambongan sebanyak RM200,000.

Selain itu, turut diserahkan ialah bantuan enjin sangkut bernilai RM10,000.

Dalam pada itu, Yusuf berkata pihaknya akan mempercepatkan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sugut bagi manfaat nelayan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Menteri pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penubuhan PNK Sugut sangat penting memandangkan Beluran sebuah daerah yang besar.

Sebelum ini, katanya sudah ada PNK Beluran, namun penambahan sebuah lagi persatuan perlu agar penyampaian bantuan dapat dijalankan dengan lebih cekap.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|