Ketua Kampung, JPKK digesa terus bekerjasama demi rakyat

Penampang: Ketua Kampung dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini terutama di daerah ini digesa supaya sentiasa menjalinkan kerjasama yang baik demi kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jafery Jomion berkata, pemimpin peringkat kampung perlu memainkan peranan dan bekerjasama seperti tulang dan isi kerana tanpa tulang, mustahil isi dan kulit dapat berdiri teguh serta kuat.

Sebahagian yang hadir pada gotong royong di Dewan Raya Kampung Mogoputi, Kapayan.

Katanya, mereka ini juga adalah mata dan telinga pemerintah dan seharusnya tugas serta tanggungjawab harus diberi keutamaan tanpa terus bermain politik atau bercakaran sesama sendiri.

“Ini berikutan ada beberapa aduan pemimpin kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan yang diterima oleh pihak Bahagian dan ketika lawatan ke kampung kawasan berkenaan.

Antara penduduk yang hadir pada gotong royong di Dewan Raya Kampung Mogoputi, Kapayan.

“Punca masalah kerjasama ini berpunca daripada pelantikan mereka mendapat sokongan politik bercampur dari beberapa komponen parti pemerintah.

“Walaupun pada dasarnya kerjasama campuran adalah baik kepada penubuhan pemerintah sebuah kerajaan tetapi di peringkat Kampung masih ada ramai lagi yang masih belum terbuka dan emosi dalam menerima penyokong parti lain menerusi jawatankuasa atau dalam kampung mereka,” katanya ketika hadir menyertai program gotong royong membersihkan Dewan Raya Kampung Mogoputi, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan ketua kampung yang dilantik supaya mencadangkan sendiri pengerusi JPKK kepada pemimpin politik Bahagian atau wakil rakyat yang dipilih bagi mengelak masalah dari segi kerjasama di masa akan datang.

Beliau dalam pada itu turut meminta supaya pihak kerajaan membenarkan hanya individu yang sudah bersara sahaja boleh menjadi ketua dan menjawat jawatan penting dalam JPKK.

“Jawatan itu juga tidak boleh dijawat oleh ahli keluarga terdekat seperti isteri, adik beradik, anak atau pun menantu supaya lebih adil dan tiada unsur kronisma atau salah guna kuasa,” katanya.

Jafery sebelum itu meminta supaya kerajaan memberi memberi peruntukan khas antara RM300 sehingga RM500 sebulan untuk bantuan pembayaran kos pembersihan, bil air dan elektrik kepada semua JPKK supaya dewan raya atau balai raya di kawasan masing-masing sentiasa terjaga.

“Ini supaya orang awam dapat menyewa dewan atau balai raya kampung dengan kos yang berpatutan dan pihak JPKK juga akan mendapat pendapatan untuk kos pembaikan dan sebagainya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|