Kota Kinabalu: Liputan meluas daripada pelbagai agensi media termasuk media cetak dan elektronik banyak membantu kerajaan untuk membawa pembangunan kepada negeri ini melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteria (JKM) Datin Lucy Irene Yong berkata, kerajaan negeri amat menghargai peranan penting pengamal media dalam membuat liputan program dan aktiviti kerajaaan negeri terutama melibatkan Ketua Menteri.
Katanya, sejurus Datuk Seri Hajiji Noor memulakan tugas sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Sabah, beliau bersetuju untuk melakukan penjenamaan Pejabat Akhbar dan Penerbitan, JKM kepada Pejabat Media dan Komunikasi selaras dengan tuntutan keperluan semasa agar pejabat itu lebih berpandangan ke hadapan.
“Pejabat Media dan Komunikasi JKM menjadi ‘focal point’ dalam mempastikan segala laporan berkaitan kerajaan negeri dan Ketua Menteri dihebahkan bukan sahaja cepat tetapi tepat.
“Saya amat berterima kasih atas kerjasama dan persefahaman yang wujud antara pengamal media dan Pejabat Media dan Komunikasi selama ini dan saya berharap ini akan beterusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Bersama Ketua Menteri dan Media, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan pasukannya itu akan memberi kerjasama yang terbaik kepada pengamal media di negeri ini.
“Saya ada pasukan yang terbaik. Kami telah lakukan dan akan lakukan yang terbaik untuk jalin kerjasama dengan media dan pemudah cara dalam komunikasi. Kami gembira dengan hubungan antara media berlangsung dengan baik.
“Sebagai pemudah cara kepada pengamal dan organisasi media dalam memberi liputan dan publisiti kepada Kerajaan Negeri terutama sekali Ketua Menteri, pejabat saya sentiasa dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada rakan media untuk kebaikan kita bersama,” katanya.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Wetrom Bahanda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.
-Deasoka