Jambatan pekan Tuaran – Sungai Damit belum dibuka – JKR

Tuaran: Jambatan baharu menghubungkan pekan Tuaran dan Kampung Sungai Damit serta sekitarnya, di sini belum dibuka secara rasmi untuk kegunaan awam.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid bagi menjawab isu penutupan jambatan berkenaan yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Jambatan baharu pekan Tuaran – Sungai Damit ditutup sepenuhnya atas keselamatan pengguna.

Beliau menjelaskan jambatan yang menjadi laluan pintas dari Kampung Sungai Damit dan sekitarnya ke pekan Tuaran itu masih dalam kerja pembinaan.

“JKR Sabah mengambil maklum persoalan orang awam mengenai penutupan Jambatan Pekan Tuaran – Sungai Damit pada 10 Mei 2022 yang tular di media sosial.

“Untuk makluman, jambatan ini masih dalam kerja-kerja pembinaan dan tidak pernah dibuka secara rasminya untuk kegunaan orang awam.

“Selain itu, penutupan jambatan ini juga adalah untuk memberi laluan kepada Independent Checking Engineer (ICE) yang telah dilantik untuk menjalankan pemeriksaan akhir terhadap integriti struktur jambatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak JKR Sabah memahami kesulitan yang dihadapi oleh orang awam disebabkan penutupan jambatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya atas risiko keselamatan pengguna, jambatan itu terpaksa ditutup sepenuhnya sehingga dimaklumkan kelak.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul berhubung keadaan jambatan besi bernilai RM18 juta itu yang dikatakan tidak selamat berikutan strukturnya yang kelihatan terturun di bahagian tengah.

Pada Jun 2020, bekas Pengarah JKR, Datuk Richard Jomiji Kinsil menjelaskan berlaku sedikit pesongan terhadap struktur jambatan itu, namun ia tidak perlu dirobohkan.

Projek jambatan sepanjang kira-kira 100 meter yang dibina merentasi Sungai Tuaran itu diumumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada 2017, manakala pembinaannya bermula pada 2019 dan sepatutnya siap pada 2020.

Kelewatan penyiapan projek itu sebelum ini dikatakan berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Berikutan kelewatan projek jambatan itu, penduduk dari Sungai Damit terpaksa menggunakan laluan yang jauh ke pekan Tuaran melalui Jalan Tamparuli – Berungis – Pekan Tuaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|