Kota Belud: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick hari ini membayangkan sedia mencabar Datuk Seri Madius Tangau untuk jawatan presiden pada pemilihan parti itu yang dijangka pada Ogos depan.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata beliau sedia menyahut cabaran mengambil alih kepemimpinan UPKO jika diberi kepercayaan oleh ahli parti.
Jelasnya, beliau mahu menawarkan rekod kepemimpinannya sepanjang mengetuai UPKO Kota Belud dan menjadi wakil rakyat Kadamaian yang disandangnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Saya tidak mencabar kepemimpinan sesiapa tetapi saya ingin menawarkan rekod kepemimpinan saya di Kadamaian kepada ahli parti.
“Sekiranya mereka merasakan rekod ini boleh diangkat menjadi inspirasi baharu kepada parti dan jika mereka merasakan masanya sudah tiba, saya bersedia mengambil cabaran itu,” katanya pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kota Belud yang dirasmikan Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin, di sini, hari ini.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran mengambil alih jawatan presiden UPKO daripada pengasasnya, Tan Sri Bernard Dompok sejak 2014.
Ewon adalah satu-satunya wakil UPKO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini selepas hanya beliau memenangi kerusi ditandingi parti itu daripada 12 kerusi keseluruhannya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), September 2020.
Beliau juga tidak menolak spekulasi mengenai hasratnya itu, sebaliknya menyerahkan kepada ahli parti itu di semua Bahagian UPKO untuk menterjemahkan ucapannya pada mesyuarat berkenaan.
“Saya bersedia menyahut cabaran sekiranya Bahagian UPKO mahu saya menerajui parti ini. Konsultan terbaik adalah ahli parti. Maka saya ingin mengajak pimpinan UPKO untuk mendengar pandangan dan teguran ahli parti dan juga rakyat.
“Jika majoriti ahli parti mahukan penjenamaan parti dipakejkan dengan transisi kepemimpinan, maka kita harus peka dan mengambil tindakan yang progresif,” katanya.
Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, berkata UPKO tidak boleh bertanding pada pilihan raya akan datang jika ahli parti di peringkat bahagian berpecah dan meninggalkan parti.
UPKO juga katanya tidak dapat bersaing dengan blok politik kerajaan jika tidak berupaya mencetuskan inspirasi baharu yang dapat membina semula sokongan kepada parti itu.
Ewon berkata, kenyataannya itu sudah cukup jelas untuk diterjemahkan oleh ahli UPKO pada pemilihan parti itu nanti.
Spekulasi mengenai Ewon bakal mencabar Madius selaku presiden UPKO timbul dalam usaha parti itu untuk menarik semula sokongan selepas Madius dilihat gagal mengukuhkan UPKO, malah tewas pada PRN-16 di kerusi DUN Kiulu.
-Deasoka