RM134.59 juta untuk sektor pelancongan Sabah tahun depan

RM134.59 juta untuk sektor pelancongan Sabah tahun depan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri berusaha untuk memulih dan membangunkan sektor pelancongan menerusi pelbagai program dengan peruntukan RM134.59 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam belanjawan tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan itu termasuk menaik taraf fasiliti pelancongan dan pembangunan sumber manusia untuk pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

“Saya juga mengumumkan bahawa Biro Konvensyen Sabah (SCB) akan diwujudkan dan beroperasi mulai tahun depan.

“SCB akan memacu pertumbuhan industri pelancongan melalui acara perniagaan berasaskan pelancongan untuk menjadikan Sabah sebagai pilihan destinasi untuk aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Ia akan menjana aktiviti ekonomi untuk manfaat sektor hospitaliti, logistik, penerbangan dan sektor lain yang berkaitan,” katanya pada pembukaan Persidagan Pelancongan Dunia (WTC) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Kewangan II yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata persidangan bertemakan
‘Tourism Futures Reimagined’ itu tepat pada masanya sejajar dengan perkembangan semasa industri pelancongan tempatan dan antarabangsa.

“Sejak pembukaan sempadan pada 1 April 2022, Malaysia dan Sabah tanpa henti mengejar untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan, khususnya dalam kemajuan pelancongan.

“Saya gembira apabila mengetahui peserta dalam persidangan ini akan sama-sama untuk nembincangkan masa hadapan pelancongan dan strategi yang akan memandu pemulihan pelancongan dan daya tahan selepas pandemik,” katanya.

Hajiji berkata walaupun pelancongan Sabah adalah sektor yang paling terjejas sepanjang dua tahun ini, kerajaan negeri tidak putus-asa dalam usaha mendepani cabaran.

“Kerajaan negeri memberikan belanjawan yang baik untuk melembutkan kesan dan memastikan tahap pembangunan industri pelancongan kita memandangkan pelancongan menjana hasil terbesar kepada Sabah sebelum pandemik

“Saya gembira mengumumkan bahawa usaha kita untuk memperkasa komuniti tempatan menerusi CoBT suda mula membuahkan hasil. Ia adalah sektor yang berkembang maju di seluruh Sabah ketika ini.

“Pelancongan luar bandar menyediakan peluang kepada kita untuk mengembang dan memperbaiki produk CoBT melalui peningkatan kemahiran dan pengukuhan produk.

“Inisiatif ini bukan saja meningkatkan tawaran produk pelancongan negeri tetapi juga memperbaiki ekonomi komuniti,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Sabah merekodkan 1.2 juta ketibaan antarabangsa dan domestik antara Januari hingga September tahun ini dengan anggaran resit pelancongan sebanyak RM2.1 bilion, menunjukkan petanda yang baik dalam sektor pelancongan.

Katanya, mulai 5 Disember hingga 1 Januari depan, Sabah bakal menerima kehadiran 24 penerbangan tambahan antarabangsa setiap minggu dari Taipei, Narita, Busan dan Hong Kong yang akan menambah 52 peratus kapasiti tempat duduk antarabangsa.

“Sabah akan terus meneroka sebanyak mungkin inisiatif untuk mengukuhkan sektor pelancongan sejajar kepentingannya sebagai katalis ekonomi.

“Kita juga akan mengambil langkah untuk memastikan Sabah kekal satu daripada destinasi pelancongan yang menjadi kesukaan di Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|