Persidangan DUN : Pusat perlindungan sementara selamatkan kanak-kanak jalanan

Persidangan DUN : Pusat perlindungan sementara selamatkan kanak-kanak jalanan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara bagi menyelamatkan kanak-kanak jalanan atau yang berkeliaran dan meminta sedekah di setiap daerah yang berdepan masalah itu.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, berkata pusat berkenaan diselia kerajaan negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dengan dibantu pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, projek perintis akan dilaksanakan di Kota Kinabalu dengan mengubah suai sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami sebagai Pusat Perlindungan Sementara.

“Peruntukan segera sebanyak RM250,000 sudah disediakan untuk pengubahsuaian rumah berkenaan agar bersesuaian dengan konsep Pusat Perlindungan Sementara.

“Pusat perlindungan ini dijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (PH – Kadamaian) mengenai usaha kerajaan untuk membanteras isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya serta lampu trafik di sekitar Kota Kinabalu.

Abidin berkata, kehadiran kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik khususnya di Kota Kinabalu serta bandar utama seperti Tawau, Sandakan dan Lahad Datu mewujudkan kegusaran awam.

Jelasnya,, pembabitan mereka dalam aktiviti seperti meminta sedekah, berkeliaran di kawasan tumpuan ramai dan mewujudkan setinggan dalam bandar bukan saja memberi imej negatif kepada negeri ini, malah memberi persepsi yang salah berhubung usaha pembangunan negeri.

“Majoriti kumpulan ini adalah daripada suku Palauh iaitu kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau-pulau di pantai timur Sabah,” katanya.

Sementara itu, Abidin berkata dari segi konsep, sasaran inisiatif pusat perlindungan itu adalah kanak-kanak masyarakat Palauh bersama penjaga atau secara berasingan yang diselamatkan ketika operasi yang dijalankan PBT.

“Kanak-kanak jalanan ini akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksimum sehingga tiga bulan.

“Pusat ini akan menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi,” katanya.

Selepas itu, katanya kanak-kanak terbabit akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga apabila tempoh tiga bulan berakhir.

“Ketika penyerahan kembali kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya tanggungjawab keselamatan di pusat perlindungan berkenaan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Sukarelwan Malaysia (RELA) yang memberikan kawalan 24 jam sepanjang pusat beroperasi.

Katanya, tanggungjawab membuat pemeriksaan sebelum masuk dan isu-isu kesihatan diserahkan di bawah penyeliaan Jabatan Kesihatan.

Abidin berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah selaras dengan konvensyen berkaitan hak Kanak-Kanak 1989 (Geneva) yang menekankan hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan daripada sebarang keadaan yang merbahaya termasuk kemungkinan pengekploitasian terhadap kanak-kanak, serta Akta Kanak-kanak 2001: Perkara 17 (k) (i) dan (ii).

Tambahnya, inisiatif itu juga mengambil kira larangan terhadap kanak-kanak terbabit dengan aktiviti meminta sedekah atau mengemis serta aktiviti yang memudaratkan kesihatan atau kebajikan golongan itu.

“Kerajaan sememangnya menyedari bahawa isu kanak-kanak yang berkeliaran mahupun pengemis secara keseluruhannya perlu ditangani dan kerajaan akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian.

“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan PBT akan terus berkolaborasi dan melaksanakan operasi bersepadu dengan agensi berkaitan seperti JPKA, polis, Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain agensi yang berkaitan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|