Persidangan DUN: Sabah bangunkan program ramalan banjir bagi amaran monsun lebih awal

Persidangan DUN: Sabah bangunkan program ramalan banjir bagi amaran monsun lebih awal

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan sedang sedang membangunkan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang membolehkan ramalan banjir monsun tujuh hari lebih awal.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk James Ratib berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dengan kerjasama JPS Malaysia.

“Usaha turut dilakukan bagi membangunkan sistem yang mampu meramal dan menyebarkan amaran banjir kilat kepada orang ramai dari satu hingga tiga jam lebih awal berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Mengenai pusat pemindahan sementara (PPS), kerajaan sudah mengenal pasti keperluan PPS seperti dewan masyarakat dan sebagainya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan yang lain jika diperlukan dari segi pertambahan lokasi dan pertambahan fasiliti,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) yang bertanya sekiranya kerajaan bercadang untuk mewujudkan sistem pemantauan banjir dan membina PPS sebagai persediaan menghadapi banjir di daerah-daerah yang terjejas oleh banjir.

Sementara itu, menjawab mengenai status projek tebatan banjir di Kota Belud, James berkata, pihaknya sedang melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kadamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang, Kota Belud.

“Ia melibatkan pembinaan ban dan penstabilan tebing sungai dan projek ini telah bermula pada 21 Mac 2022 dan dijangka siap pada 20 Mac 2023.

“Sehubungan itu, bagi mitigasi jangka panjang, Feasibility Study for Integrated Water Resources and Flood Mitigation in Kota Belud dalam peringkat akhir penyediaan dokumen kajian,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|