Rina tidak tamak kuasa – Liew Yun Fah

Tawau: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal keluar Parti Warisan (WARISAN) dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) membuktikan beliau tidak tamakkan kuasa.

Presiden Harapan Rakyat, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata sebaliknya keputusan Rina menyertai parti kecil itu adalah satu tindakan berani yang harus dilihat dari sudut positif.

Berikutan itu, beliau meminta semua pihak menghentikan fitnah terhadap Rina menerusi pelbagai dakwaan tidak berasas sejurus ADUN Kukusan itu mengumumkan keluar WARISAN Ahad lalu.

“Seorang ahli politik sekiranya mahu mengambil keputusan berpindah ke parti lain adalah satu tindakan yang sangat berat dan susah, tetapi dia (Rina) berani buat.

“Kita bagi tempoh tiga bulan, jika dia tidak boleh bekerja dan hanya bercakap sahaja, barulah kita fitnah Rina keluar parti untuk cari keuntungan, tapi kalau dia bekerja beri sokongan padu kepadanya,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, Yun Fah berkata parti diterajuinya sudaj memohon untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana yakin dengan hala tuju gabungan itu yang memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah khususnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, beliau sudah banyak kali bertemu pemimpin GRS dan tahu halatuju mereka ikhlas memperjuangkan hak rakyat Sabah.

“Justeru, Harapan Rakyat perlu bersama-sama dengan parti yang berjuang untuk rakyat, walaupun kami hanya sekumpulan kecil, tetapi akan bantu perjuang hak rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata, banyak perancangan yang ingin dilaksanakannya sebelum ini namun berhadapan kekangan dana kerana berada di blok pembangkang.

“Setiap hari saya pening macam mana mahu laksanakan program bulanan untuk rakyat, dengan keadaan peruntukan yang tidak mencukupi.

“Namun, saya bersama pasukan tetap berusaha dan bekerja memberi khidmat walaupun kurang peruntukan,” katanya.

Katanya, jika mendapat sokongan dan bantuan, apa yang dirancangnya boleh dilaksanakan dengan lebih kerap dan baik lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|