Penjaja kecil perlu kreatif pasarkan produk jualan

Ranau: Penjaja kecil di daerah ini disaran supaya lebih kreatif dalam memasarkan produk masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Datuk Amisah Yassin berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dua tahun lalu banyak menjejaskan golongan peniaga serta yang bekerja.

Penyerahan mesin membuat mi kuning kepada peserta.

“Peniaga hari ini perlu tingkatkan kreativiti pemasaran terutamanya penggunaan aplikasi dalam talian atau melalui media sosial.

“Selain itu, apabila Covid-19 melanda banyak transaksi tanpa tunai dijalankan, jadi saya mahu penjaja kecil juga tidak ketinggalan untuk terlibat sama.

“Penjaja kecil khususnya golongan wanita tempatan yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal perlu mendominasi bidang perniagaan khususnya secara kecil-kecilan seperti produk makanan mi kuning,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Pembuatan Mi Kuning di Dewan Kampung Sinarut, di sini, semalam.

Katanya lagi, memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi yang berkesan mungkin tidak mampu memberi impak seperti yang diinginkan.

“Apatah lagi ketika hampir semua jenis perniagaan kini beralih ke platform digital.

“Apa yang sangat diperlukan usahawan ialah akses bagi mereka meningkatkan pendapatan dalam kadar segera dan akses pasaran bagi produk mereka. Walaubagaimanapun, mereka terlebih dahulu perlu diberi latihan seperti aspek pemasaran baharu dan kemahiran teknologi, katanya.

Terdahulu, program itu merupakan anjuran Persatuan Muafakat Kampung Sinarut (PEMUKA) dengan kerjasama Srikandi BERSATU Bahagian Ranau.

Seramai 20 peserta terdiri daripada golongan wanita menyertai program dua hari itu dan setiap peserta kursus diberi sebuah mesin pembuat mi kuning bersama Sijil Penyertaan Kursus.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|