Rina kecewa tuduhan tidak munasabah kerana tinggalkan WARISAN

Rina kecewa tuduhan tidak munasabah kerana tinggalkan WARISAN

Tawau: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal yang meninggalkan Parti Warisan (WARISAN) dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) pada 5 Jun lalu dihujani pelbagai tuduhan dan tohmahan berikutan tindakan itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan ketika hendak membuat keputusan itu, ia dilakukan melalui perbincangan bersama akar umbi.

Rina menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk DUN Kukusan.

Katanya, ketika berada di blok pembangkang pihaknya sentiasa turun padang bekerja walaupun menghadapi keterbatasan dari segi peruntukan.

“Kebanyakan yang berbaur fitnah dilontarkan kepada saya, bagi saya ini semua tidak adil, keputusan meninggalkan WARISAN saya ambil bersama ‘team’ saya sendiri yang sentiasa bersama saya dalam susah dan senang.

Rina turun padang menemui penduduk DUN Kukusan.

“Kami tetap bekerja dan buktikan sepanjang dua tahun kami menjadi pembangkang tetapi juga kami buktikan walaupun tidak ada apa peruntukan, kami tetapi memberikan kerja kami yang terbaik.

“Jadi bagi saya segala tuduhan yang mereka berikan tidak pantas dan mereka harus berhenti dari melakukan tohmahan,” katanya ditemui selepas pertemuan bersama penduduk DUN Kukusan dan menyampaikan 30 bakul makanan kepada 30 ketua isi rumah, di sini, semalam.

Katanya, beliau meninggalkan WARISAN kerana wujudnya penolakan dari dalaman parti terhadap dirinya, sama ketika Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meninggalkan UMNO suatu ketika dahulu.

“Tidak mungkin seseorang itu keluar jika tidak ada tolakan dalaman daripada parti itu sendiri, saya pasti orang berpengalaman dalam berpolitik terdahulu, macam presidennya sendiri, kenapa Datuk Seri Shafie pun keluar daripada UMNO sedangkan beliau juga menang melalui tiket UMNO dahulu.

“Pasti ada masalah tolakan dalaman sehingga menyebabkan tokoh ahli politik seperti Datuk Seri Shafie sendiri keluar daripada parti yang sudah lama dan mengangkat beliau sehingga menjadi ahli politik yang terkenal di peringkat nasional,” katanya.

Rina, berkata antara ikar taat setia kepada parti dan ikrar ketika menerima perlantikan sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan N egeri (DUN) adalah lebih utama kerana apa yang penting ialah perkhidmatan kepada rakyat.//

“Bagi saya antara dua ikrar janji ini yang paling terpenting adalah ikrar kita sebagai wakil rakyat, ADUN itu sendiri bukan sebagai ahli parti.

“Bagi saya tidak relevan jika mempersoalkan antara ikrar taat setia kerana pada mulanya kita berikrar dalam poltik adalah untuk rakyat, bagi saya parti seumpama sebuah kenderaan dan pada akhirnya pun kita bekerja untuk rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|