Pameran foto telusur masalah, cabaran penyakit malaria di luar bandar

Pameran foto telusur masalah, cabaran penyakit malaria di luar bandar

Kudat: Pameran foto bertemakan ‘elak gigitan nyamuk elak malaria’ yang disertai 26 peserta berpeluang menyelami dan meneroka permasalahan malaria monyet di kawasan luar bandar.

Ketua Penyelidik dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (FPER, UKM) Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, program terbabit hasil kerjasama dua pasukan penyelidik.

Peserta program dan penyelidik merakamkan gambar kenangan bersama ketika program berkenaan.

Katanya, kerjasama itu membabitkan Jabatan Kesihatan Masyarakat, FPER UKM dan Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (FPSK, UMS) yang diadakan di Dewan Kampung Lotong, di sini.

“200 foto berjaya dipamerkan peserta yang juga penduduk dari Kampung Manduri, Paradason, Membatu Laut dan Tagumamal Darat melalui hasil kajian yang bermula pada bulan Disember 2021 hingga Jun tahun ini.

“Semua foto menggambarkan dan menceritakan kepercayaan penduduk bagaimana penyakit malaria monyet ini boleh disebarkan, cabaran komuniti untuk mengelak gigitan nyamuk, dan cara alternatif yang digunakan oleh untuk mengelak gigitan nyamuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Turut hadir Pengerusi program serta penyelidik bersama Falkulti Perubatan UKM Dr Nurul Athirah Naserrudin, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku penyelidik bersama serta pasukan penyelidik Prof Dr Mohammed Saffree Jeffrey.

Dr Mohd Rohaizat berkata, sepanjang program berlangsung, peserta berkongsi pelbagai perspektif dan pandangan kepada pengunjung termasuklah cabaran mengelak gigitan nyamuk walaupon pelbagai kaedah sudah digunakan.

“Walaupun penduduk mengambil inisiatif memakai kelambu berubat, masih ada pelbagai masalah di kampung yang menjadi punca terhadap masalah jangkitan malaria iaitu bekalan asas seperti air, elektrik dan jaringan internet.

“Kekurangan kemudahan asas ini menyebabkan komuniti terpaksa mengambil air di sungai dan meningkatkan risiko gigitan nyamuk malaria, ketiadaan jaringan internet juga menyukarkan mereka untuk mendapatkan talian dan terpaksa keluar ke kebun getah atau atas bukit untuk mendapatkan talian internet.

“Kawasan kampung yang dikelilingi oleh kebun getah, kelapa sawit, kelapa, dan hutan turut meningkatkan risiko gigitan nyamuk malaria selain kehadiran monyet di kawasan hutan terbabit turut memberikan kesan sama,” katanya.

Menurutnya, pameran foto melalui kaedah ‘Photovoice’ itu adalah satu bentuk ‘Art-based research’ bagi mencapai objektif dalam memberi peluang kepada masyarakat dalam mengongsikan pendapat mereka melalui foto dan naratif.

Katanya, dalam program sama, satu dialog bersama komuniti juga dijalankan untuk mendalami isu-isu yang berkaitan malaria.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|