Projek BELB sistem solar hibrid Kampung Long Pasia terbengkalai

Projek BELB sistem solar hibrid Kampung Long Pasia terbengkalai

Sipitang: Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan perlu menyelesaikan Projek Bekalan Eletrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid yang terbengkalai di Station 2 Kampung Long Pasia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang, Sani Miasin, berkata projek yang dilaksanakan secara rundingan terus (reka dan bina) pada 2017 itu sepatutnya siap pada 2019.

Panel solar yang telah siap dipasang.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini projek itu gagal disiapkan mengikut jadual dan terbengkalai sejak beberapa tahun lalu, tanpa sebarang kemajuan sehingga kini.

“Kegagalan kontraktor utama menyiapkan projek itu telah merugikan rakyat kerana mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Peralatan untuk Sistem Solar Hibrid Kampung Long Pasia terbiar.

“Pemuda UMNO Sipitang meminta pihak KPLB Persekutuan memberi penjelasan punca kegagalan projek itu kerana berjuta ringgit wang rakyat telah dibelanjakan untuk projek itu.

“Kita mahu tahu apa status projek itu. Sekiranya berlaku ketirisan yang menjadi punca projek itu terbangkalai, Pemuda UMNO meminta agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga meminta Menteri KPLB Persekutuan agar dapat turun ke Long Pasia untuk melihat sendiri projek yang terbengkalai itu.

“Berapa lama yang perlu ditunggu penduduk Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio untuk menikmati kemudahan bekalan eletrik sistem solar hibrid,” katanya.

Sani yang menerima aduan daripada penduduk kampung telah meninjau tapak projek itu ketika lawatannya ke Kampung Long Pasia, baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan maklumat pada papan tanda projek itu yang telah roboh, kontraktor utama projek itu ialah NM 13 Sdn Bhd dari Shah Alam.

“Jurutera Perunding Utama ialah EP Engineering Services yang beralamat di Penampang dan Jurutera Perunding Sivil dan Struktur ialah Alamega Konsult juga dari Penampang,” katanya.

Beliau difahamkan projek BELB Sistem Solar Hibrid untuk Sipitang dilaksanakan di dua stesen, masing-masing terletak di Kampung Meligan dan Long Pasia yang memberi manfaat kepada lebih 500 rumah di tujuh kampung.

Stesen Solar di Kampung Meligan mampu membekalkan elektrik untuk lima kampung iaitu Kampung Meligan, Kampung Ulu Bole, Kampung Mangayam, Kampung Rundulang dan Kampung Iburu.

Stesen Long Pasia pula katanya untuk kegunaan dua kampung iaitu Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio.

Beliau berkata, pembinaan stesen hibrid solar di dua stesen amat penting memandangkan kampung-kampung berkenaan belum menikmati kemudahan bekalan eletrik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|