Pembukaan Pelabuhan POIC Lahad Datu buka peluang ekonomi lebih luas

Pembukaan Pelabuhan POIC Lahad Datu buka peluang ekonomi lebih luas

Kota Kinabalu: Pelabuhan POIC Lahad Datu kini menjadi pelabuhan awam untuk pelbagai aktiviti perkapalan yang bakal membuka peluang ekonomi lebih luas di negeri ini, khususnya di kawasan pantai timur.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata dengan kedalaman laut semulajadi lebih 20 meter selain kedudukannya yang strategik, pelabuhan berkenaan mampu menjadi hab logistik yang berdaya maju.

Bung Moktar menyempurnakan pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu di SICC, Kota Kinabalu.

Katanya, pembukaan pelabuhan itu juga sejajar dengan rancangan POIC Sabah menjadikan Lahad Datu sebagai hab logistik, pemprosesan, pemindahan dan pembuatan bagi wilayah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).

“Kedudukan Pelabuhan POIC Lahad Datu di laluan perdagangan Selat Lombok-Makkasar yang semakin berkembang, menjadikan POIC Lahad Datu sebagai hab logistik terbaik kepada syarikat antarabangsa.

“Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga menjadi sorotan laluan perkapalan Lombok-Makassar yang melewati Kepulauan Indonesia dan muncul ke Laut China Selatan, pada masa yang sama melewati Pelabuhan POIC Lahad Datu.

“Kedudukan yang strategik ini menjadikan Pelabuhan POIC sebagai ‘Eastern Gateway’,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Menandatangani Perjanjian Konsesi Pelabuhan Antara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan POIC Logistic Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Dr Joachim Gunslaam dan Pengerusi POIC Sabah, Datuk Yong Teck Lee.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, menerusi pembukaan Pelabuhan POIC, peluang kepada pengguna di peringkat antarabangsa akan terbuka luas; ditambah dengan adanya kerjasama POIC dengan pengendali perkapalan dan logistik serantau seperti Pelindo IV, Shandong Port Overseas Development dan Dongnam A Circulater Co Ltd (Korea Selatan).

Jelasnya, kemasukan Dongnam yang berpangkalan di Busan ke POIC Lahad Datu dijangka dapat membuka pelbagai potensi sumber asli di BIMP EAGA dengan menjadikan Lahad Datu sebagai pangkalan yang dipadankan dengan teknologi dari Korea Selatan.

“Kerjasama POIC Sabah dengan sebuah gergasi perbankan milik kerajaan China, China Construction Bank (CCB), juga dapat membantu usaha menarik pelabur dari negara berkenaan.

“Para pelabur China yang melabur di Semenanjung dan dengan adanya kerjasama dengan CCB diharap akan menarik tumpuan pelabur ini ke arah Sabah pula,” katanya.

Bung Moktar berkata, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif yang sesuai untuk memastikan penyampaian perkhidmatan pelabuhan disampaikan kepada rakyat.

Seiring dengan itu, katanya penyediaan prasarana dalam bentuk fizikal dan bukan fizikal adalah antara keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

POIC Sabah ialah pemaju taman perindustrian POIC Lahad Datu sejak 2005 yang setakat ini menarik lebih RM3.5 bilion dalam pelaburan, baik oleh syarikat asing mahupun domestik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|