Mohd Danish ‘permata’ sukan golf Sabah

Mohd Danish ‘permata’ sukan golf Sabah

Kota Kinabalu: Menjadi pemain profesional dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

Itu cita-cita disuarakan pemain golf cilik negeri, Mohamad Danish Danial Md Jumat yang menerima insentif RM3,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, hari ini.

Mohd Danish (dua kanan) menerima insentif Kementerian Belia dan Sukan atas kejayaannya dalam sukan golf.

Mohamad Danish, 12, yang bergiat aktif dalam sukan golf sejak 2017 telah menyertai beberapa pertandingan golf yang dianjurkan di Malaysia.

Antaranya adalah Sport Excell Malaysian Junior Golf Circuit selain pernah menjuarai Malaysian Kids Golf Word Tournament

Kejayaan terbaru Mohamad Danish adalah mendapat tempat pertama pada Kejohanan UUMISM-Sport Excel Malaysian Junior Golf Tour 2022 3rd Leg, Kategori Lelaki Kumpulan C, berusia 11-12 tahun, baru-baru ini.

Mohamad Danish ketika ditemui berkata, dia amat berterima kasih kepada KBS dan pelbagai pihak yang tampil memberi sokongan kepadanya.

Katanya, ia termasuk memberi peluang kepadanya untuk mewakili negeri Sabah ke pelbagai kejohanan sebelum ini.

“Saya amat gembira dan terima kasih kepada KBS atas insentif yang diberikan kerana ia memberi saya semangat untuk terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, penyampaian insentif disempurnakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy di Sutera Habour Golf and Country Club, di sini.

Ketika ditemui Andi Muhammad Suryady berkata, insentif berkenaan adalah sebagai dorongan dan galakan kepada Mohamad Danish.

Katanya, bantuan diberikan itu juga diharap sedikit sebanyak memberikan satu peransang semangat untuk dia mengekalkan prestasinya.

“Selain itu, ia juga bagi membantu dalam meringankan beban pengendalian kos sepanjang kejohanan yang bakal ditempuhi selepas ini.

“Namun, apa yang lebih penting, semua kejayaan Mohamad Danish boleh dijadikan sumber inspirasi yang membuktikan orang Sabah juga boleh bersaing bukan hanya di peringkat negara tetapi juga mungkin peringkat dunia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|