REPSOL dan SEAH tetap dikenakan SST produk petroleum – Masidi

REPSOL dan SEAH tetap dikenakan SST produk petroleum – Masidi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk melaksanakan semua hak perundangan dan perlembagaannya bagi mengutip Cukai Jualan Negeri (SST) produk petroleum daripada dua anak syarikat Hibiscus Petroleum Berhad.

Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Repsol Oil & Gas Limited (REPSOL) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH) tetap tertakluk dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan tidak dikecualikan daripada membayar SST hasil jualan produk petroleum.

“Saya merujuk kepada kenyataan Hibiscus Petroleum Berhad baru-baru ini berhubung keengganan dua subsidiari milik penuhnya, REPSOL dan SEAH untuk membayar SST.

“Kerajaan negeri kekal komited melaksanakan semua hak perundangan dan perlembagaannya untuk mengutip SST bagi jualan produk petroleum daripada REPSOL dan SEAH selaras dengan Enakmen Cukai Jualan Negeri 1988.

“Untuk rekod, REPSOL dan SEAH ada memohon kepada Kementerian Kewangan dan kemudiannya diberikan lesen yang diperlukan sebagai ‘orang dikenakan cukai’ mengikut Peraturan Cukai Jualan Negeri 1999,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sehubungan itu, Masidi berkata, kerajaan negeri menolak asas yang dikatakan pihak REPSOL dan SEAH dalam keengganan mereka untuk membuat pembayaran SST dan sudahpun menuntut pembayaran yang sama.

Katanya, perbincangan di antara wakil pihak yang terbabit dalam isu itu dibuat tanpa sebarang prejudis.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu kini menemui jalan buntu dan kedua-dua syarikat kekal bertanggungjawab serta mempunyai kewajipan untuk membuat pembayaran SST yang tertunggak, termasuk penalti.

“Kerajaan negeri berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu mengikut kuasa dan bidang kuasa negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|