Kerajaan perlu bertegas isu pencerobohan Laut China Selatan, ancaman terhadap nelayan – Larry Sng

Kerajaan perlu bertegas isu pencerobohan Laut China Selatan, ancaman terhadap nelayan – Larry Sng

Kota Kinabalu: Kerajaan perlu bertegas dalam menangani isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan, kata Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng Wei Shien.

Beliau berkata, ketika ini ia bukan saja sudah mencabul kedaulatan negara, malah turut menimbulkan keluh-kesah rakyat, khasnya nelayan di Sarawak apabila aktiviti perikanan mereka terganggu atau diancam berikutan kehadiran kapal peronda China.

Apa yang lebih mengecewakan dan mengejutkan, katanya ada segelintir nelayan di Miri, Sarawak berdepan ancaman pembulian oleh pengawal laut China selain dakwaan kehadiran nelayan haram mengambil hasil laut negara sehingga golongan nelayan tempatan teraniaya.

Larry yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan perlu ditangani dengan lebih tegas kerana ia jelas mencabul kedaulatan negara.

Jelasnya, kerajaan perlu bertegas dan tidak sesekali berkompromi dalam perkara yang mencabul kedaulatan negara sebagai peringatan kepada pihak yang melakukan perbuatan itu.

“Saya kecewa bagaimana isu ini di pandang begitu remeh? Kerajaan perlu bertegas, janganlah diam sahaja. Jangan biar orang luar masuk, ceroboh kemudian beri alasan tidak masuk akal.

“Saya beri contoh nelayan-nelayan kita yang begitu sengsara kerana pencabulan dan pencerobohan ini. Perikanan adalah sumber kehidupan nelayan kita. Andainya masalah ini berlarutan, kemungkinan kita akan berdepan pula isu bekalan makanan laut.

“Ada juga dakwaan nelayan haram dari China pula mengambil kesempatan melakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratly. Ini mendukacitakan nelayan tempatan yang hilang mata pencarian.

“Saya turut sedar isu ini juga sedang dihadapi oleh nelayan di negara jiran. Jadi, kita perlu bawa perkara ini kepada perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani perkara ini, janganlah duduk diam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini ada laporan mendedahkan pesawat pejuang ‘Halimunan’ China, J-20 didakwa berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, Larry menyuarakan kebimbangannya kemungkinan ancaman di Laut China Selatan akan melemahkan sebarang usaha dalam membantu dan membangunkan ekonomi nelayan di Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu siap siaga dalam berdepan dengan situasi seperti ini.

“Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini. Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan.

“Adalah jelas pendirian negara-negara ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti seperti ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|