Kota Kinabalu: Kecekapan pasukan bomba dan penyelamat mengawal api berjaya menyelamatkan tiga daripada lima rumah daripada musnah dalam kebakaran di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, dua rumah berkeluasan keseluruhan 743 meter persegi berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya.
Beberapa penduduk kampung turut membantu memadam kebakaran menggunakan baldi berisi air.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 petang.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas serta BBP Penampang dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar dua daripada rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 meter dengan dua pancutan dari sumber air dari tangki jentera,”’katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan dan api berkaya dikawal pada jam 3.25 petang.
Katanya, api akhirnya berjaya dipadamkan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 petang.
“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden ini,” katanya.
-Deasoka