Kanak-kanak empat tahun maut kemalangan

Beluran: Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala ibu bapa serta tiga beradiknya cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki keluarga berkenaan terbabit kemalangan di Jalan Telupid – Beluran, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muhammad Fahmi Hakimi, 4, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Telupid.

Keadaan kereta SUV Toyota Prado dinaiki mangsa yang terbabas di Jalan Telupid – Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa bersama keluarganya itu menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Prado dari arah Ranau menuju ke Sandakan.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian kereta berkenaan dipercayai terbabas ketika melalui satu jalan menuruni bukit dan terbabas di bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Penumpang lain sedang dirawat di Klinik Kesihatan Telupid manakala pemandu kereta di bawa ke Balai Polis Telupid untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika cuaca mendung selepas hujan dan jalan berselekoh menuruni bukit.

“Mayat bayi terbabit sudah dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|